Suspek kes tetak calon AMK Shah Alam serah diri

Keadaan mangsa terbaring selepas diserang sekumpulan lelaki, Isnin lalu.
A
A

SHAH ALAM - Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes kematian bekas calon AMK Shah Alam, M Thiyahu dalam kejadian di Flat PKNS, Seksyen 7, Isnin lalu.

Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berusia 25 yang ditahan itu merupakan suspek utama kes kematian Thiyahu.

Menurutnya, suspek datang menyerah diri kepada polis dengan hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama peguamnya, Gerard Lazuras jam 10.30 malam semalam.

"Suspek direman sehingga 15 Januari depan untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baharudin berkata, siasatan kini giat diteruskan untuk kesan dan tangkap suspek- suspek lain serta mencari bahan bukti kes.

"Sehingga kini empat lelaki dan seorang wanita ditangkap untuk siasatan," katanya.

Baharudin berkata, keputusan bedah siasat yang dijalankan semalam mengesahkan punca kematian Thiyahu akibat luka parah di bahagian kepala.

Thiyahu berusia 30 tahun parah di beberapa bahagian badan, tangan, kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia.

Siasatan polis mendapati mangsa diserang tiga lelaki yang menaiki sebuah Proton Waja berwarna silver.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.