Kereta disimbah cat, dicampak bangkai ayam

Cha Kee Chin (kiri) dan Senthivelu (dua dari kanan) melihat keadaan kereta Myvi yang disimbah dengan cat merah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin
Cha Kee Chin (kiri) dan Senthivelu (dua dari kanan) melihat keadaan kereta Myvi yang disimbah dengan cat merah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin
A
A
A

NILAI - Kereta Ahli Majlis Bandaraya Seremban (MBS), K Senthivelu disimbah dengan cat merah manakala rumahnya di Taman Desa Cempaka di sini dicampak dengan bangkai seekor ayam hitam.

Kejadian kira-kira jam 12.20 tengah malam tadi itu berlaku selepas empat hari beliau didakwa memuat naik gambar yang menghina pendakwah Dr Zakir Naik di akaun Facebooknya.

Senthivelu berkata, beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi jiran yang memaklumkan terdapat bau petrol dari rumahnya.

"Saya keluar rumah dan tengok kereta Perodua Myvi yang diparkir dalam garaj. Bahagian dinding dan ruang tempat bekerja terdapat cat merah. Berhampiran pintu rumah pula dicampak bangkai ayam hitam.

"Kejadian itu sangat mengejutkan kerana saya baru pulang ke rumah jam 11 malam. Bagi saya, tindakan itu sengaja dilakukan untuk menegangkan keadaan yang berlaku sebelum ini," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Kereta Myvi yang disimbat cat merah manakala bangkai ayam hitam dicampak berhampiran pintu rumah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin
Kereta Myvi yang disimbat cat merah manakala bangkai ayam hitam dicampak berhampiran pintu rumah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin

Beliau bagaimanapun enggan membuat tuduhan, namun tidak menolak jika perbuatan itu ada kaitan dengan dakwaan penghinaan terhadap Zakir Naik.

"Jika mahu kaitkan perbuatan itu dengan tindakan ah long, saya tidak pernah membuat sebarang pinjaman melainkan dengan bank tapi saya tidak mahu membuat spekulasi. Saya serahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Senthivelu berkata, kejadian pertama kali dalam hidupnya itu seolah-olah mahu menakutkan dirinya dan keluarga.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, mangsa telah pun membuat laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa kerugian dianggarkan RM8,000 kerana cat yang disimbah bukan saja merosakkan kereta Myvi tapi juga kena pada motosikal, lantai halaman rumah dan meja," katanya.

Meja bekerja Senthivelu turut disimbah cat merah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin
Meja bekerja Senthivelu turut disimbah cat merah. - Foto sumber Facebook Cha Kee Chin

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin melalui satu status di Facebooknya mengutuk tindakan berkenaan yang disifatkan bukan budaya rakyat Malaysia.

"Itu bukan budaya Malaysia dan ia tidak sepatutnya berlaku. Politik berlandaskan demokrasi dan undang-undang bukan keganasan atau jenayah seperti itu.

"Saya berharap polis mengambil tindakan sewajarnya terhadap pelaku dan mereka yang terlibat," tulisnya selepas melawat rumah Senthivelu.