Air tercemar: LAP henti sementara operasi LRA Jalan Baru

Masalah pencemaran air dikongsi netizen yang mempersoalkan sama ada air yang dibekalkan kepada penduduk selamat diminum atau sebaliknya.
Masalah pencemaran air dikongsi netizen yang mempersoalkan sama ada air yang dibekalkan kepada penduduk selamat diminum atau sebaliknya.
A
A
A

IPOH - Lembaga Air Perak (LAP) menghentikan sementara operasi Loji Rawatan Air (LRA) Jalan Baru, Parit Buntar susulan aduan penduduk dan maklumat tular di laman sosial mengenai keadaan air yang dipercayai tercemar.

Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari berkata, pihak LAP telah menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca masalah dan seterusnya mengambil tindakan lanjut bagi memastikan pengguna mendapat bekalan air yang berkualiti.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bahawa kualiti air terusan telah merosot dan sukar untuk diproses.

"LAP telah memohon kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk membuka pintu air di Pekan Batu 5 bagi membolehkan air terusan mengalir dan memulihkan kualiti air di dalam terusan di mana air mentah diperolehi.

"Sebagai langkah mitigasi, operasi loji telah diberhentikan buat sementara waktu sehingga kualiti air mentah kembali pulih," katanya dalam satu kenyataan di sni hari ini.

Sebelum ini masalah air di kawasan Parit Buntar mendapat perhatian penduduk dan netizen apabila mendakwa berlaku pencemaran kerana air yang disalirkan di rumah mereka berbau serta rasa masam.

Terdapat netizen yang mendakwa keadaan itu disebabkan pencemaran baja sawit.

Keadaan itu dialami penduduk sejak minggu lalu sebelum aduan berkenaan dibuat kepada LAP.

Artikel Berkaitan:

Malah Sinar Harian turut menerima emel daripada pembaca memaklumkan tentang masalah pencemaran air yang dihadapi oleh penduduk.

Sementara itu, Abdul Yunus berkata, pemberhentian sementara operasi itu juga menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air di beberapa kawasan seperti Parit Buntar, Tanjung Piandang, Bagan Tiang dan Kuala Kurau yang melibatkan sebanyak 19,000 akaun pengguna.

Katanya, bagi kawasan Kuala Kurau, air disalur dari LRA Semanggol manakala kawasan-kawasan lain yang terlibat, air dibekalkan melalui lori-lori tangki bagi memastikan pelanggan menerima bekalan air yang selamat.

"Sehingga kini kualiti air mentah dipantau dan menunjukkan terdapat peningkatan kualiti.

"Loji akan beroperasi sebaik sahaja kualiti air terusan kembali normal," katanya.

Menurut, LRA Jalan Baru yang dihentikan operasi sementara itu berkapasiti 50 juta liter sehari (JLH) membekalkan air bagi tiga bandar utama daerah Kerian iaitu Parit Buntar, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Bagaimanapun katanya, dalam keadaan biasa LRA ini membekal air sekitar 26 juta liter sehari.

Menurutnya, sumber air mentah bagi LRA ini diperolehi dari terusan besar yang disalurkan dari Tasik Bukit Merah.

Beliau berkata, dalam keadaan tertentu, JPS akan mengepam air dari Sungai Samagagah iaitu anak Sungai Kerian ke dalam terusan besar melalui rumah pam Sungai Bogak.

Sementara itu, pihak LAP juga turut membuat hebahan mengenai gangguan air menerusi laman Facebooknya.