X

Kindly register in order to view this article
!

24 telaga tiub untuk umat Islam di Kemboja

Zainal Abidin menunjukkan antara telaga tiub yang diwakafkan untuk penduduk Islam di Kemboja.
A
A

KUANTAN - Yayasan Amal Malaysia Pahang berjaya menyiapkan 24 telaga tiub di beberapa perkampungan Islam di Kemboja hasil daripada wakaf orang ramai sepanjang tahun lalu.

Timbalan Pengerusinya, Zainal Abidin Mohamad berkata, kesemua kemudahan itu membabitkan peruntukan sebanyak RM36,000.

Menurutnya, sebanyak 18 telaga tiub dibina pada misi bantuan ke negara berkenaan yang disertai empat ahli jawatankuasa yayasan berkenaan pada 15 hingga 18 Disember tahun lalu manakala selebihnya pada misi sebelum itu.

"Kita memilih beberapa perkampungan yang dihuni penduduk Muslim yang daif dan tiada kemudahan bekalan air bersih termasuk di wilayah Sihanoukville dan Kampot.

"Telaga tiub ini turut dibina di beberapa madrasah dan pusat pengajian Islam di sana," katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zainal Abidin meninjau kerja-kerja menyiapkan telaga tiub yang dibina di sebuah perkampungan Islam di Kemboja.
Zainal Abidin meninjau kerja-kerja menyiapkan telaga tiub yang dibina di sebuah perkampungan Islam di Kemboja.

Zainal Abidin berkata, ada beberapa kawasan yang tersenarai untuk diwakafkan telaga tiub tetapi tidak dapat dilaksanakan kerana beberapa masalah termasuk keadaan muka bumi yang berbatu.

"Kita berjaya melaksanakan amanah rakyat Malaysia yang menyumbang kepada dana wakaf telaga tiub ini dan akan diteruskan tahun ini jika sumbangan terus diterima," katanya.

Beliau berkata, pada misi bantuan yang diketuainya baru-baru ini, yayasan itu turut menghulurkan sumbangan barang keperluan harian kepada ibu tunggal, anak yatim dan mualaf selain mengagihkan wakaf al-Quran kepada surau dan madrasah di wilayah berkenaan.

"Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menyalurkan sumbangan kepada Yayasan Amal Malaysia Pahang melalui akaun Maybank 556011009756 atau hubungi talian 0199132166," katanya.

Zainal Abidin (kiri) turut mengagihkan sumbangan barang keperluan harian kepada penduduk Islam di Kemboja sempena misi bantuan ke negara itu pada 15 hingga 18 Disember tahun lalu.
Zainal Abidin (kiri) turut mengagihkan sumbangan barang keperluan harian kepada penduduk Islam di Kemboja sempena misi bantuan ke negara itu pada 15 hingga 18 Disember tahun lalu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus