Azam dah makin mengurus

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

“AKU nak kurus dan sihat tahun ini”. Itu adalah antara azam yang kerap kali kedengaran bila tiba tahun baharu setiap tahun.

Semua mahu kurus dan sihat namun berapa ramai yang berjaya merealisasikan azam mereka itu bila tibanya penghujung tahun.

Sebenarnya kesihatan yang baik amat penting untuk memastikan kita dapat menjalani kehidupan yang menggembirakan setiap hari.

Berapa ramai di luar sana yang terpaksa berhadapan dengan penyakit dan memerlukan rawatan yang melibatkan kos yang banyak setiap hari.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad, Malaysia kekal sebagai negara mempunyai bilangan penduduk obesiti paling tinggi di Asia sejak tahun 2015.

“Statistik yang diperoleh melalui Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada tahun 2015 menunjukkan Malaysia telah menjadi sebuah negara obes di mana seorang dalam dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes.

“Ini sekali gus menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara paling gemuk di Asia dengan jangkaan populasi yang berlebihan berat badan sebanyak 33 peratus dan obesiti sebanyak 18 peratus,” katanya dalam satu kenyataan pada 23 April 2019.

Masalah obesiti sebenarnya mampu mengundang pelbagai penyakit lain yang sepatutnya boleh dielakkan jika kita menjaga kesihatan.

Artikel Berkaitan:

Untuk kekal sihat, selain senaman kita juga perlu mengamalkan pemakanan yang sihat. Kita perlu amalkan konsep ‘pinggan sihat Malaysia’ iaitu suku-suku-separuh seperti yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.

Konsep suku-suku-separuh ini sudah diperkenalkan sejak tahun 2017. Suku-suku separuh yang dimaksudkan ialah pemakanan dalam setiap pinggan yang melibatkan kuantiti suku karbohidrat contohnya nasi, suku protein seperti ayam dan daging serta separuh adalah sayur dan buah.

Sayur, buah pula dirampas

Namun dalam kita mahu mengamalkan pemakanan yang sihat, kerap pula kita didedahkan tentang rampasan yang dilakukan oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Pelbagai jenis sayur dan buah terutamanya dari negara jiran dirampas di pintu-pintu sempadan masuk ke negara ini.

Sebagai contoh pada 27 November 2019, Maqis Perlis merampas pelbagai jenis buah-buahan tanpa permit sah bernilai RM104,684 sejak Januari lalu.

Pengarah Maqis Perlis, Khairi Arif berkata, buah-buahan yang dirampas ialah mangga seberat 5,112 kilogram (kg), jambu air 3,219kg dan dokong 2,000kg.

Menurutnya, kesemua rampasan berkenaan dibawa menggunakan lori yang dipandu warga tempatan melalui ketiga-tiga pintu sempadan di Perlis iaitu Kuala Perlis, Wang Kelian dan Padang Besar.

Pada 17 Disember 2019, Maqis Kedah merampas 12 kotak salad dicemari serangga perosak di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Maqis dalam kenyataannya memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati salad seberat 90 kilogram bernilai RM1,608 itu dibawa masuk dari Australia.

Itu hanya sebahagian berita mengenai rampasan yang berjaya dilakukan Maqis di Perlis dan Kedah. Sebenarnya banyak lagi rampasan yang dilakukan melibatkan nilai sehingga mencecah jutaan ringgit.

Berbicara tentang kurus semula, teringat cerita sahabat baik penulis yang baru-baru ini menang satu pertandingan mengurangkan berat badan yang dianjurkan syarikat tempatnya bekerja.

Katanya, dia berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram dalam tempoh dua bulan. Kejayaan menurunkan berat badan itu sungguh hebat.

Tetapi apa yang menarik perhatian penulis ialah walaupun dengan kesukaran menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram dalam tempoh dua bulan namun sahabat penulis itu ‘berjaya’ menaikkan semula berat badannya sebanyak dua kilogram dalam tempoh seminggu sahaja selepas pertandingan itu berakhir.

Begitulah nasib kita jika hanya berazam untuk kurus pada awal tahun namun azam itu semakin ‘mengurus’ dan berakhir bila tibanya penghujung tahun.

*Megat Abdul Halim Megat Mohd ialah Penolong Editor Sinar Harian