X

Kindly register in order to view this article
!

Laluan mencabar ‘guru rimba’

Sekumpulan guru SK Balar, berhenti rehat seketika selepas menempuh perjalanan panjang untuk tiba di sekolah.
A
A

GUA MUSANG - Setiap tahun pendidik yang menabur bakti di kawasan pedalaman orang asli di daerah ini akan berdepan detik cemas sepanjang perjalanan pergi dan pulang dari sekolah dan mereka ini digelar ‘guru rimba’.

Sekumpulan ‘guru rimba’ Sekolah Kebangsaan (SK) Balar, Gua Musang sanggup menempuh perjalanan getir sepanjang 60 kilometer (km) laluan balak.

Pepatah alah bisa tegal biasa sesuai untuk guru yang telah lama mengajar namun bagi guru baharu, pengalaman itu benar-benar mencabar fizikal dan mental.

Bagi Che Zulkifli Che Sukri, 40, meredah hutan itu adalah pengalaman pertamanya kerana sebelum ini dia bertugas di SK Pelindung, Kuantan.

“Saya hanya dihebahkan dengan kesukaran guru-guru rimba yang menabur keringat di pedalaman tanpa merasai keperitannya. Memang agak mencabar untuk menempuh perjalanan sepanjang 60km ini kerana keadaan cuaca tidak begitu baik.

“Ada jalan yang teruk ditambah pula faktor hujan menyebabkan perjalanan semakin sukar kerana selut dan lumpur tebal. Saya juga hampir cedera terjatuh motosikal kerana tidak biasa dengan keadaan jalan ini. Agak penat dan letih,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

SK Balar terletak 90km dari bandar Gua Musang merangkumi 30km laluan berturap dan 60km laluan balak.

Bagi Mohd Noor Faizal Mohd Noordin, 43, pula dia sudah biasa dengan situasi berkenaan setiap kali musim tengkujuh.

Menurutnya, mereka akan bergerak secara berkumpulan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Jika ada insiden seperti terjatuh, cedera atau motosikal rosak, kita akan membantu rakan-rakan lain malah ada juga ketika kami terpaksa bermalam di hutan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus