Kanak-kanak 11 tahun boleh alami tekanan emosi

Perkongsian Mohd Fairuz di Twitter miliknya tular di laman sosial.
Perkongsian Mohd Fairuz di Twitter miliknya tular di laman sosial.
A
A
A

SHAH ALAM - Kanak-kanak boleh mengalami tekanan emosi seawal 11 tahun, merasai kebimbangan, ketakutan berlebihan dan jika tidak dikawal boleh membawa kepada masalah kesihatan mental.

Pendedahan itu dikongsi oleh pakar motivasi, Mohd Fairuz Abu atau dikenali Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Kenyataan itu merujuk kepada luahan perasan beberapa kanak-kanak di sebuah sekolah di sini.

Beliau yang terkenal dengan #TukangCeramahBudakSekolah memuat naik luahan kanak-kanak secara bertulis di papan putih ketika menghadiri motivasi di sekolah tersebut.

"Setiap kali ceramah motivasi, saya akan minta pelajar datang ke depan dan tulis kenapa rasa tak semangat belajar.

"Maka, inilah jawapan yang kerap kali ditulis. Murid darjah lima. Bayangkan baru umur 11 tahun tapi dah lalui semua ni. 'Stress' dalam kalangan budak-budak zaman sekarang 'real'. Mereka tak ada tempat nak luahkan," ciapnya di Twitter.

Antara luahan yang dikongsi murid-murid adalah mereka dijadikan perbandingan oleh ibu dengan sepupu yang lebih pandai dan tekanan daripada ibu bapa supaya memperoleh 6A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Kata Mohd Fairuz, hantaran itu sekadar perkongsian kepada masyarakat selain mahu memberi penekanan kepada isu yang sangat membimbangkan dan turut mengambil contoh berita budak perempuan 10 tahun ditemui mati tergantung pada pemegang tangga baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tak pelik pendedahan Kajian Kesihatan Mental di Malaysia mendedahkan seawal 13 tahun budak dah alami tekanan. Kita nak lahirkan generasi apa sebenarnya ni?" ujarnya.