Maszlee melangkaui politik kepartian

A
A
A

KEMENTERIAN Pendidikan di bawah kepimpinan Dr Maszlee Malik adalah kementerian yang pertama menyerahkan laporan prestasi 100 Hari PH dan laporan prestasi tahunan.

Kementerian beliau menjadi trend setter kepada kementerian-kementerian yang lain hasil daripada ketelusan yang tinggi. Maknanya beliau bekerja sebagai Yang Berkhidmat, bukan Yang Berhormat dan beliau ialah pekerja yang paling bersih, cekap, amanah. Rakyat pasti tertanya mengapa pula beliau yang pertama untuk melepaskan jawatannya sebagai menteri?

Apakah budaya politik kita sudah jatuh ke tahap di mana pekerja yang paling bersih, cekap, amanah dianggap sebagai satu beban politik yang paling tidak menguntungkan?

Ucapan rasmi beliau di KL Summit menekankan keperluan Tajdid atau Renewal Oriented Education (ROE). Beliau nampak bahawa masalah akar adalah masalah sistem.

Tajdid perlu bermula pada sistem. Contohnya, profesor mesti diberi platform autonomi bersuara dan diberi keupayaan membuat penyelidikan yang dia rasa amat penting. Beliau telah memberi kebebasan yang besar kepada persatuan mahasiswa dalam bersuara. Kebebasan ini tidak pernah dinikmati oleh mahasiswa selama ini akibat pelaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Beliau telah mengusulkan penilaian semula AUKU di Parlimen.

Dalam bidang falsafah, Maszlee telah mengorak langkah di mana menteri sebelum ini tidak berani ambil iaitu dengan mewajibkan semua mahasiswa untuk mengambil subjek falsafah dan isu semasa. Subjek ini tidak menguntungkan kepentingan politik mana-mana pihak.

Mahasiswa akan menjadi teramat kritis terhadap informasi-informasi yang diterima sekalipun daripada profesor terulung. Maszlee mempunyai visi untuk membudayakan falsafah dengan memperkenalkannya sebagai sebuah subjek wajib di mana semua mahasiswa perlu lulus.

Apa yang Maszlee buat kelihatan tidak menguntungkan mana-mana parti politik. Parti politik perlu melahirkan budaya taksub kepada partinya. Tetapi budaya yang Maszlee usahakan membawa rakyat ke tahap Malaysia Baharu yang membina mindset tamadun di mana rakyat bukan sekadar dibenarkan tetapi dilatih untuk berfikir kritis terhadap budaya yang sedia ada.

Artikel Berkaitan:

Ini mencabar status quo. Isu sekarang ialah sejauh manakah kerajaan mampu membina budaya Malaysia Baru yang matang, kritis dan multikultural sedangkan tiga patah ayat jawi pun menjadi kontroversi?

Bukan Malaysia Baharu sekiranya rakyat masih dididik untuk berpolitik konspirasi dan masih tak mampu bersaing dengan budaya politik antarabangsa. Usaha Maszlee untuk memperkasakan pendidikan Manusiawi jelas serius melalui pengenalan subjek Sivik. Bukan sekadar memperkenalkan subjek baharu, Maszlee juga memberi bantuan makanan kepada semua pelajar-pelajar sekolah.

Memang ini sudah pasti memakan belanjawan berbilion tetapi bagaimana murid-murid miskin boleh fokus pelajaran kalau perut lapar? Isu sekarang ialah sejauh manakah budaya politik kita mengutamakan kemanusiaan atas materialisme? Jimat tiga bilion tetapi korbankan kemanusiaan?

Pendidikan perlu holistik iaitu Maszlee telah hapuskan pemisahan aliran sains dan sastera. Beliau juga mahu pelajar fokus pada pendidikan insani, maka peperiksaan diminimumkan di peringkat sekolah rendah. Dunia sedang dilanda ledakan informasi tetapi bukan peningkatan komunikasi antara manusia secara bersemuka.

Maszlee selama hanya 20 bulan menjadi menteri telah meletakkan asas-asas pendidikan yang tidak terfikir oleh budaya politik selama ini. Jangan nak fikir perkara tinggi. Isu kasut hitam, kasut putih pun tidak terjangkau oleh minda politik kita yang terlalu dangkal dan sempit.

Maszlee akan terukir dalam sejarah sebagai Menteri Pendidikan yang mungkin hanya boleh difahami dan dihargai sepenuhnya oleh generasi 50 tahun kemudian dari 3 Januari 2020!

* Xifu Naser ialah Pensyarah Pemikiran Kreatif Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)