X

Kindly register in order to view this article
!

TRW takkan pandang mudah

YUSRI CHE LAH
A
A

PENGENDALI Kelantan, Yusri Che Lah tidak mahu memandang mudah saingan dalam Liga Premier 2020 walaupun The Red Warriors (TRW) memiliki peluang cerah untuk meraih slot ke Liga Super 2021.

Menurutnya, walaupun Liga Premier akan dibarisi empat feeder club yang tidak akan naik ke Liga Super, namun, tentangan yang bakal diberikan tujuh pasukan lain tetap tidak boleh diambil mudah.

“Saya tidak rasa faktor ada empat feeder club dalam Liga Premier akan memudahkan kami mendapatkan tiket ke Liga Super. Tujuh pasukan lain yang bukan feeder club itu juga mesti mahu tiket tersebut.

“Kita tahu pasukan seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan UKM FC memiliki keupayaan dan kekuatan tersendiri. Mereka bakal menjadi pencabar kepada kami dalam memburu slot ke Liga Super,” katanya.

Terdahulu, pengendali Kuala Lumpur, Mohd Nidzam Adha Yusof menyifatkan peluang mereka untuk layak ke saingan Liga Super 2021 bakal menjadi mudah kerana empat pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Selangor II, Perak II dan Terengganu II merupakan feeder club yang tidak akan naik ke saingan elit Liga Malaysia itu.

Mengulas lanjut kata Yusri, laluan berliku juga perlu dihadapi pasukan pantai timur itu terutama untuk mencuri mata daripada feeder club.

“Kita juga perlu menentang feeder club yang kita tahu kualiti yang ada pada mereka. Mata yang bakal diperolehi ketika melawan mereka itu bagi saya akan jadi penentu sama ada kita akan mampu mendapatkan tempat di Liga Super.

“Pada masa sama, kita perlu menentang tujuh lagi pasukan yang mempunyai misi sama. Jadi saya tak rasa ia sesuatu yang mudah untuk Kelantan,” katanya.

Justeru, beliau mengharapkan pemain agar tidak meletakkan situasi dalam Liga Premier itu sebagai sesuatu yang mudah kerana akhirnya akan memberikan kesan negatif kepada pasukan.

“Walaupun orang ramai menilai perkara (layak ke Liga Super) lebih mudah namun, bagi saya ia sesuatu yang belum pasti. Yang pasti kita tidak boleh terikut dan dibuai dengan situasi mudah itu,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus