Operasi Libero Purus kesan penjawat awam terlibat dadah

Mohd Khalil - FOTO ZAHID IZZANI
Mohd Khalil - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan melancarkan Operasi Libero Purus bagi mengesan kakitangan awam yang terlibat penyalahgunaan dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, surat rasmi berhubung operasi tersebut telah dihantar kepada ketua jabatan di setiap agensi kerajaan.

"Dalam surat yang diserahkan kepada ketua jabatan, kita meminta mereka untuk memberikan nama kakitangan yang dipercayai terbabit dengan dadah untuk proses saringan air kencing.

"Operasi ini akan dilakukan secara berterusan dalam usaha membanteras kegiatan dadah dalam kalangan penjawat awam di seluruh negara,” katanya ketika ditemui pada sidang media Ketua Polis Negara bersama 10 Pengarah Jabatan PDRM di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Khalil berkata, selain Operasi Libero Purus, terdapat lapan lagi operasi yang mempunyai fokus masing-masing seperti Operasi Ice Breaker iaitu pemusnahan sarang penagihan dan Operasi Damn Tokan bagi membasmi pengedar dadah.

“Selain itu, ada Operasi Wild Cat bagi mencegah parti liar, Operasi Club Rats iaitu pengambilan dadah ketika berhibur di kelab malam, Operasi Double Dose yang menyasarkan penagih tegar.

"Kita juga melakukan Operasi Junk Devil bagi memastikan individu disekat mematuhi perintah sekatan, Operasi Blue Devil iaitu menahan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) terbabit dadah dan Operasi Waran Narko yang menyasarkan individu dikehendaki untuk kes dadah,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, seramai 164,914 individu ditahan atas kesalahan mengedar, memiliki dan positif urin dadah.

Katanya, tangkapan terbabit juga membabitkan sembilan 'kingpin' atau ketua sindiket selain turut membongkar 23 makmal dadah di seluruh negara.

Tegasnya, pihaknya akan mempertingkatkan lagi rampasan dadah sebagai langkah membendung masalah penagihan dadah di negara ini.

Artikel Berkaitan: