Ronnie dinasihat ambil ‘kelas tambahan’, belajar Perlembagaan

Abu Bakar (kiri) dan Ronnie.
Abu Bakar (kiri) dan Ronnie.
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pusat DAP, Ronnie Liu dinasihatkan supaya mengambil ‘kursus tambahan’ berkaitan Perlembagaan Persekutuan sebelum mengeluarkan kenyataan mengkritik Parti Pribumi Bersatu Malayaia (Bersatu).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya berkata, tindakan Ronnie sebalik isu pengganti Dr Maszlee Malik itu seolah-olah cuba mencetuskan ketegangan serta ketidakharmonian dalam Pakatan Harapan (PH).

“Ia umpama menganggu urusan pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Apakah hak beliau untuk mencampuri isu pengganti Menteri Pendidikan selepas penyandang sebelum ini, Dr Maszlee melepaskan jawatan pada 2 Januari lalu.

“Saya fikir, semua pemimpin sama ada orang politik mahu pun pentadbir kerajaan memahami bahawa Perdana Menteri ada hak prerogatif dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan menteri-menteri daripada kalangan ahli Parlimen,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Ronnie mengingatkan Bersatu supaya tidak bongkak sehingga mengenepikan suara parti-parti lain dalam PH berhubung pengganti Dr Maszlee.

Malah Abu Bakar turut menjelaskan tindakan Ronnie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek itu langsung tidak memahami Perlembagaan Persekutuan.

“Jadi apa justifikasi Ronnie mahu isu pengganti Dr Maszlee dibincang serta perlu dapatkan suara-suara lain dalam gabungan PH sedangkan perkara tersebut di bawah bidang kuasa dan hak Perdana Menteri.

“Kalau beliau tidak faham, boleh ambil kursus tambahan...belajar dan fahami Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menegaskan kepada mana-mana pihak supaya berhenti daripada terus-menerus menimbulkan polemik berkaitan isu pengganti Dr Maszlee.

Sebaliknya beliau menyarankan semua pihak termasuk ahli-ahli politik khususnya daripada pihak kerajaan supaya memberi penekanan terhadap amanah serta tanggungjawab kepada rakyat termasuk memulihkan semula keupayaan negara.

“Saya ada baca laporan berita bahawa Ronnie mendakwa 61 peratus penyokong tidak begitu gembira dengan pentadbiran pada masa ini dan sesuatu perlu dilakukan.

“Jika demikian, Ronnie sepatutnya berhenti mencampuri perkara yang bukan di bawah tanggungjawabnya tetapi menjalankan tugas beliau sebagai wakil rakyat seperti yang sepatutnya,” ujarnya.