MAHB lantik Mohd Shukrie sebagai Pemangku CEO

MOHD SHUKRIE
MOHD SHUKRIE
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh, 46, sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan itu hari ini.

Menurut kenyataan MAHB, Mohd Shukrie menggantikan penyandang jawatan, Raja Azmi Raja Nazuddin selepas beliau memutuskan meninggalkan MAHB bagi meneroka peluang lain berkuat kuasa serta-merta.

Raja Azmi mula menyertai MAHB pada 1 Februari 2016 sebagai Ketua Pegawai Kewangan sebelum dilantik sebagai CEO Kumpulan MAHB pada 4 Januari tahun lalu.

“Beliau telah memberi sumbangan penting kepada MAHB sepanjang tempoh perkhidmatannya. Ahli lembaga pengarah mengucapkan terima kasih kepada Raja Azmi di atas perkhidmatannya dan mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau.

“Sebagai sebuah syarikat yang disenaraikan, MAHB akan melaksanakan proses yang sewajarnya bagi mengenal pasti dan melantik pengganti yang sesuai.

“Dalam tempoh itu, lembaga pengarah melantik Mohd Shukrie, Ketua Pegawai Operasi semasa MAHB sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan berkuatkuasa serta merta,” katanya.

Mohd Shukrie sebelum ini memulakan kerjayanya di Public Bank Securities Sdn Bhd dan kemudian di United Overseas Bank Bhd.

Beliau pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Konsortium Logistik Bhd pada 2013 dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Bhd pada 1 November 2015.

Artikel Berkaitan:

Sebelum menjadi Ketua Pegawai Operasi MAHB pada 1 Mei 2019, Mohd Shukrie juga adalah Ketua Pegawai Operasi AirAsia Malaysia.