X

Kindly register in order to view this article
!

Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat jangkitan pneumonia dari China

DR NOOR HISHAM
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada sebarang laporan diterima Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan rakyat Malaysia susulan kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) melibatkan kawasan Wuhan, China sejak akhir tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM memandang serius mengenainya dan sentiasa memantau kejadian membabitkan rakyat Malaysia dengan gejala tersebut khususnya yang mempunyai sejarah perjalanan ke Wuhan dari semasa ke semasa.

Menurutnya, KKM akan sentiasa bekerjasama rapat dengan semua agensi berkaitan secara berterusan bagi memperkukuhkan aktiviti kesiapsiagaan dan respons KKM bagi menghadapi potensi penularan jangkitan dalam Malaysia.

"KKM akan terus memantau situasi kejadian penyakit ini dan sebarang perkembangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, WHO melaporkan secara rasmi pada 5 Januari lalu mengenai kejadian kluster pneumonia melibatkan masyarakat Wuhan di Wilayah Hubei, China.

Kejadian kluster itu mula dikesan dan dilaporkan oleh pihak berkuasa negara China kepada WHO China Country Office pada 31 Disember lalu.

Dr Noor Hisham berkata, selain itu, tiada sebarang larangan perdagangan dengan China dikeluarkan WHO susulan kejadian kluster radang paru-paru (pneumonia) berkenaan, meskipun ia sedang dipantau rapi.

"Punca jangkitan masih dalam siasatan, namun pihak berkuasa negara China mengesahkan jangkitan tersebut bukanlah jangkitan influenza, avian flu, adenovirus, Middle East Respiratory Syndrome Coronavirus (MERS-CoV) ataupun Severe Acute Respiratory Syndrome (SARS).

"Sehingga 5 Januari lalu, sebanyak 59 kes dikenal pasti mempunyai kaitan dengan kejadian kluster tersebut.

"Daripada jumlah kes itu, sebanyak tujuh kes dalam keadaan teruk, manakala yang lain dilaporkan stabil dan tiada kematian dilaporkan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, WHO juga melaporkan buat masa ini, tiada sebarang jangkitan daripada manusia kepada manusia.

Menurutnya, siasatan masih dijalankan pihak berkuasa China dan sebanyak 121 kontak rapat kes-kes tersebut telah dikesan dan diletakkan di bawah pemerhatian.