X

Kindly register in order to view this article
!

Trio selebriti ajak belia selami nasib pelarian Syria

A
A

SEPANG - Trio selebriti terkenal negara mengajak rakyat Malaysia terutamanya golongan muda untuk lebih menyelami penderitaan ribuan rakyat Syria yang kini menjadi pelarian akibat perang di negara itu.

Faizal Tahir, Aizat Amdan dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh turut mengajak rakyat negara ini terus menyalurkan sumbangan kepada pertubuhan kemanusiaan seperti Persatuan Cinta Syria Malaysia (CSM) bagi memastikan kebajikan mangsa peperangan di Syria terus terbela.

Faizal berkata, beliau bersama Aizat dan Noh menyertai projek Misi Musim Sejuk 7.0 anjuran CSM di Turki, Lubnan dan Syria bagi memberikan inspirasi kepada golongan muda untuk terus membuka mata dan lebih prihatin terhadap isu pelarian Syria.

"Dalam program Misi Musim Sejuk CSM 7.0, kami bertiga hanya bertindak sebagai sukarelawan mewakili rakan selebriti lain bagi membantu merealisasikan misi bantuan kemanusiaan anjuran persatuan itu.

"Kami berbangga kerana sekurang-kurangnya mampu melakukan sesuatu bagi membantu saudara seagama kita di Syria dan berharap mampu memberikan inspirasi kepada golongan belia supaya turut serta membantu mereka dalam apa jua bentuk sumbangan," katanya ketika ditemui sebelum berlepas ke Lubnan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Beliau berkata, kesedaran masyarakat terhadap isu terkini berlaku di Syria semakin terhakis meskipun pada mulanya perkara itu pernah mendapat perhatian meluas sebelum ini.

Bermula hari ini sehingga 17 Januari depan, Faizal, Aizat dan Noh bersama tujuh sukarelawan lain termasuk Pengasas CSM, Ahmad Musa Al-Nuawairy Kamaruzaman dan Koordinator Projek CSM, Puteri Norafiah Sulaiman akan menyertai Misi Musim Sejuk CSM 7.0.

Ahmad Musa berkata, projek Misi Musim Sejuk CSM 7.0 membabitkan Turki, Lubnan dan Syria dijalankan bagi menyalurkan bantuan buat pelarian Syria selain menjadi platform utama menyebarkan kesedaran tentang isu terkini berlaku di negara itu.

"Sejumlah RM1.2 juta dana kutipan derma berjaya dikumpulkan bagi menyediakan barangan asas dan keperluan musim sejuk seperti makanan, pakaian, selimut, alat pemanas, bahan api diesel serta bekalan perubatan.

"Segala bentuk bantuan ini dijangka memberikan manfaat kepada lebih 30,000 pelarian Syria yang kini ditempatkan di kem-kem tahanan di Turki, Lubnan dan Syria," katanya.

Menurutnya, selain itu, projek CSM kali ketujuh itu membawakan sedikit kelainan dengan memfokuskan kepada sumbangan dari sudut perubatan dan pendidikan buat anak-anak pelarian Syria sebagai inisiatif bantuan jangka masa panjang

Puteri Norafiah pula berkata, CSM akan menyampaikan maklumat dan situasi terkini pelarian Syria serta Misi Musim Sejuk CSM 7.0 menerusi platform media sosial rasmi CSM iaitu Facebook, Instagram dan saluran YouTube.

Menurutnya, CSM akan memfokuskan kepada paparan video dan gambar-gambar aktiviti dijalankan untuk tatapan serta pengetahuan umum terutamanya penyumbang yang merupakan teras dan sokongan utama terhadap projek itu.

"Di samping itu, penyertaan Faizal, Aizat dan Noh dalam misi kemanusiaan ini sangat penting bagi memberi isyarat kepada golongan belia bahawa sudah tiba masa mereka bangkit bersama membela nasib pelarian Syria yang semakin ditekan saban hari.

"Kita berharap lebih banyak sumbangan dapat disalurkan kepada CSM pada masa hadapan supaya lebih banyak projek pembangunan pendidikan strategik dapat dilaksanakan demi masa hadapan anak-anak Syria," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!