Polis sudah terima analisis video intim daripada pakar AS

Huzir Mohamed
Huzir Mohamed
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah menerima hasil analisis video intim mengaitkan seorang menteri daripada pakar Amerika Syarikat (AS) pada akhir bulan lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, kertas siasatan kes berkenaan juga sudah diserahkan kepada pihak Peguam Negara.

"Apa yang saya nyatakan dahulu kita akan mendapatkan laporan analisa dari pakar luar negara. Ya... memang betul kita dah dapat.

"Untuk makluman, seperti mana yang saya nyatakan, kita telah serahkan kertas siasatan kepada pihak Peguam Negara," katanya ketika ditemui selepas Majlis Meraikan Atlet PDRM Sukan SEA 2019 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Menurutnya, PDRM dan Jabatan Peguam Negara akan memberikan kenyataan media bersama dalam masa terdekat berhubung siasatan kes video intim berkenaan.

Pada Jun tahun lalu, beberapa klip video tular memaparkan dua lelaki mengadakan hubungan intim dengan seorang daripadanya didakwa menyerupai seorang menteri Kabinet.

Selepas itu, seorang individu bernama Muhammad Haziq Abdul Aziz yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil membuat pengakuan bahawa dirinya adalah pelaku dalam video tersebut.

Haziq mengaku terlibat dalam video intim tersebut dan turut mengaitkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, tetapi dinafikan Timbalan Presiden PKR itu yang menyifatkan ia komplot jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Artikel Berkaitan:

Polis kemudian mengumumkan penubuhan sebuah pasukan petugas forensik yang terdiri daripada polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia serta agensi lain untuk menentukan ketulenan video tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis lantik pakar AS siasat video intim mirip menteri

Dalam perkembangan lain, berhubung isu perintah mahkamah yang menghalang Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) meneruskan persidangan isu tulisan jawi di sekolah vernakular di Kajang, 28 Disember lalu, Huzir berkata, tindakan itu diambil kerana sebagai langkah keselamatan dan ketenteraman awam.

Katanya, pihaknya tidak mahu provokasi timbul hingga menyebabkan sesuatu yang tidak baik berlaku.

"Sebagai penguat kuasa undang-undang, kita ambil langkah itu. Prioriti kita adalah menjaga keselamatan orang awam," katanya.