Tiada permohonan operasi semula Rayani Air diterima

Anthony
Anthony
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan tidak menerima sebarang permohonan daripada syarikat penerbangan, Rayani Air untuk kembali beroperasi.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat tersebut perlu mematuhi syarat operasi jika berhasrat menyambung semula perkhidmatan penerbangan komersil.

"Saya tak sedar atau dimaklumkan berkaitan permohonan itu, namun jika benar syarikat itu mahu beroperasi, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

"Selagi tidak dapat kelulusan daripada dua agensi ini, (Rayani Air) tidak boleh beroperasi. Setakat ini status mereka saya tidak tahu,” katanya mengulas kenyataan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran bahawa syarikat itu akan beroperasi kembali tahun ini.

Perkembangan itu dikongsi Ravi di akaun Facebook miliknya yang turut memaklumkan Rayani Air bakal berwajah baharu, namun masih mengekalkan konsep patuh syariah.

Pada Jun 2016, lesen operasi Rayani Air dibatalkan selepas gagal mematuhi peraturan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) selain menghadapi masalah pengurusan dan kewangan termasuk kegagalan membayar gaji pekerja.

Sementara itu, Anthony turut melakukan pemeriksaan mengejut ke atas penunggang teksi motosikal Dego Ride melalui tempahan perkhidmatan tersebut hari ini.

Artikel Berkaitan: