'Saya beri sedekah, bukan mahu raih undi' - Shafie Apdal

Foto Shafie menghulurkan wang kepada orang ramai yang menjadi tular di laman sosial sejak semalam.
Foto Shafie menghulurkan wang kepada orang ramai yang menjadi tular di laman sosial sejak semalam.
A
A
A

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan gambar yang tular di media sosial semalam yang mendakwa beliau memberi wang kepada pengundi ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

Sebaliknya, kata Ketua Menteri itu, gambar yang tular itu diambil ketika beliau menghadiri program bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Sandakan baru-baru ini dan tiada kaitan dengan pilihan raya kecil berkenaan.

“Selepas program di Sandakan itu selesai, saya ke masjid untuk solat dan saya sempat bersedekah kepada penduduk di situ kerana kita tahu mereka susah. Ia sama sekali tiada kaitan dengan PRK Kimanis.

“Bukan tujuan kita beri sedekah mahu raih undi. Takkanlah orang Sandakan mahu mengundi di Kimanis. Itu taktik kotor dilakukan oleh pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jasamu Dikenang Sempena Perpisahan bekas Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Negeri, Datuk Bahari Hassan di sini semalam.

Mohd Shafie berkata, demikian bagi mengulas mengenai gambarnya didakwa sedang memberi wang kepada pengundi di Kimanis yang kini tular dalam media sosial.

Menurutnya, banyak taktik kotor yang dimainkan pembangkang semasa berkempen di PRK berkenaan.

“Antaranya mereka mengatakan saya gagal bangunkan Sabah semasa menjawat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika Barisan Nasional (BN) memerintah. Mereka perlu tahu peruntukan yang diberikan adalah RM5 bilion dan ia bukan untuk Sabah sahaja. Saya kena jaga seluruh Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau meminta pihak pembangkang tidak mempolitikkan isu perayaan Krismas yang diadakan di Membakut baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Itu sambutan Krismas mereka dan ia kebetulan bersekali dengan PRK Kimanis. Jadi jangan politikkan isu berkenaan. Saya tidak pernah mendengar ada orang membuat laporan polis mengenai sambutan Krismas.

“Saya tidak pernah mendengar sekatan untuk mengadakan sambutan perayaan semasa PRK. Saya selaku Ketua Menteri dan saya dijemput hadir ke sambutan berkenaan dan apa yang kita mahu adalah menyatupadukan rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya. - Bernama