Anthony Loke naik Dego Ride

Anthony tiba di LRT Pasar Seni selepas menggunakan sendiri perkhidmatan teksi motosikal.
Anthony tiba di LRT Pasar Seni selepas menggunakan sendiri perkhidmatan teksi motosikal.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengadakan pemeriksaan mengejut ke atas penunggang Dego Ride dengan melanggan perkhidmatan berkenaan hari ini.

Anthony mencuba perkhidmatan teksi motosikal itu bermula dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur ke Stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Pasar Seni dengan jarak sejauh dua kilometer.

Beliau menunggu ketibaan penunggang motosikal hampir 15 minit dan mengambil masa 10 minit untuk tiba ke destinasi.

Anthony yang menjadi penumpang ke-20 penunggang motosikal berkenaan berkata, beliau berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan termasuk pematuhan aspek keselamatan jalan raya.

No Image Caption

"Kita tahu perkhidmatan ini masih pada peringkat awal dan belum banyak motosikal yang disediakan untuk memenuhi permintaan. Jadi ia mengambil sedikit masa untuk mereka sampai mengambil penumpang.

"Apa yang saya perhatikan, mereka bersedia memberikan topi keledar kepada penumpang, motosikal yang ditunggang tidak terlalu laju dan mematuhi peraturan lampu isyarat sepanjang laluan," katanya yang berkongsi pengalaman selepas menggunakan perkhidmatan tersebut.

Anthony turut berharap aspek keselamatan dan peraturan jalan raya itu dikekalkan bagi memastikan pelanggan tidak berada dalam keadaan bahaya.

Artikel Berkaitan:

"Itu adalah petanda baik dan harap disiplin ini diteruskan kepada penunggang dan penyedia perkhidmatan teksi bermotosikal yang beroperasi di Lembah Klang sejak 1 Januari lalu.

"Pada masa sama, saya akan minta pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan arahkan pegawai kita melakukan pemeriksaan dengan menyamar sebagai penumpang untuk melihat mereka mematuhi peraturan atau tidak,” katanya.

Katanya, perkhidmatan baharu itu akan melalui tempoh percubaan selama enam bulan sebelum membuat penilaian secara holistik bagi kawal selia dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kabinet telah putuskan membenarkan perkhidmatan ini beroperasi maka kita sebagai kementerian pelaksana akur dan perlu pastikan aspek keselamatan dipatuhi," katanya.

Dego Ride merupakan syarikat pertama yang menyediakan perkhidmatan teksi motosikal di Malaysia sebagai menyokong usaha kerajaan membuka peluang pekerjaan dalam industri baharu dan membantu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.