X

Kindly register in order to view this article
!

Ubi muda Liverpool balas kepercayaan Klopp

Jones (tengah) menjadi watak penting ketika membantu Liverpool mengatasi Everton pada saingan Pusingan Ketiga Piala FA di Stadium Anfield awal pagi tadi. - Foto: AFP
A
A

BARISAN muda Liverpool membuktikan mereka dalam kelas tersendiri apabila menyingkirkan musuh setempat Everton 1-0 pada Derbi Merseyside saingan Pusingan Ketiga Piala FA di Stadium Anfield awal pagi tadi.

Pada derbi setempat itu, pengendali The Reds Jürgen Klopp sebelum itu mengambil tindakan berani apabila hanya menurunkan dua pemain senior Joe Gomez dan James Milner manakala selebihnya adalah para pemain muda seperti Harvey Elliott, Curtis Jones dan Pedro Chirivella.

Sebaliknya lawan mereka The Toffees kendalian Carlo Ancelloti tampil barisan terbaik hanya mampu mengasak kubu tuan rumah selepas Milner terpaksa dikeluarkan digantikan Yasser Larouci kerana mengalami kecederaan pada minit kesembilan.

Tanpa Milner, barisan para pemain muda The Reds berjaya menyerap asakan pelawat sepanjang 30 minit sebelum kembali mendominasi perlawanan yang kemudiannya dinoktahkan dengan jaringan Jones minit ke-71 untuk kemenangan Liverpool.

Sementara itu, Klopp menyifatkan persembahan yang dipamerkan para pemain muda cukup luar biasa pada perlawanan berkenaan.

"Para pemain muda Liverpool bermain dengan penuh semangat keberanian di dada. Persembahan yang cukup luar biasa daripada pemain-pemain muda yang turut dibantu para pemain senior.

"Adam Lallana dan Joe Gomez juga tidak kurang hebat dalam membantu menggerakkan pergerakan pasukan pada bahagian pertahanan.

"Paling penting perlawanan pada malam ini tidak berakhir dengan keputusan seri dan percaturan kami berjaya dan saya gembira.

"Secara keseluruhannya satu aksi yang cukup luar biasa dan bertenaga dari para pemain muda. Gol cantik daripada Jones sudah cukup membuktikan semangat para pemain muda Liverpool untuk menyaingi seterusnya menewaskan Everton," katanya.

Sementara itu, Jones mengakui cukup teruja apabila jaringannya membantu memastikan The Reds mara ke pusingan keempat saingan itu.

"Bolanya datang ke arah saya dan ketika itu hanya perkara saja bermain difikirkan saya iaitu merembatnya.

"Syukurlah, gol yang tercantik itu menoktahkan saingan Everton seterusnya penentu kemenangan Liverpool.

"Kemenangan ini sesuatu yang besar bagi saya dan juga untuk para pemain muda. Pernah suatu ketika kami terfikir berapa lama kami akan duduk dibangku simpanan dan menonton aksi para pemain Liverpool.

"Kini kami sudah membuktikannya dan akan terus belajar setiap hari bagi mendapatkan kesebelasan dalam skuad utama," kata pemain berusia 18 tahun itu.

Klopp pada perlawanan ini mengambil keputusan menggunakan sistem penggiliran para pemain kerana pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bakal berdepan jadual padat sejak penghujung Disember lalu.

Percaturan bekas pengendali Borussia Dortmund itu yang menggantikan sembilan pemain ketika menewaskan Sheffield United 2-0 sebelum ini dengan para pemain muda akhirnya berbaloi apabila mereka membalas kepercayaan itu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!