Bomba keluarkan mangsa tersepit

Anggota BBP Bukit Kayu Hitam membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Kampung Alor Janggus, Napoh, semalam. -Foto: Ihsan JBPM Kedah
Anggota BBP Bukit Kayu Hitam membantu mengeluarkan mangsa kemalangan di Kampung Alor Janggus, Napoh, semalam. -Foto: Ihsan JBPM Kedah
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang lelaki cedera selepas tersepit dalam kenderaan dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Alor Janggus, Napoh, di sini semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berkaitan kecemasan kira-kira jam 5.25 petang.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Kayu Hitam diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Hisyam Che Harun tiba bersama dua jentera di lokasi kira-kira jam 5.41 petang.

"Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan yang berlanggar di bahagian depan.

"Akibat pelanggaran itu, seorang pemandu kereta tersepit manakala pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) tidak mengalami sebarang kecederaan,"katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menurutnya, anggota bomba kemudiannya mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas dan menerima rawatan awal oleh anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) BBP Bukit Kayu Hitam.

Beliau berkata, mangsa patah tangan dan kaki kanan kemudian dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan.

Artikel Berkaitan: