Liew Vui Keong nafi dakwaan Khairy mengenai pindaan perlembagaan

Liew Vui Keong - Foto Bernama
Liew Vui Keong - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dakwaan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin bahawa pembangkang tidak mengundi pindaan perlembagaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan kerana pindaan itu "tidak bersubstantif” adalah tidak benar sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong.

Beliau menjelaskan perkara itu tidak timbul kerana Jawatankuasa Kabinet Khas telah mencapai persetujuan berkenaan 17 daripada 21 isu bagi melaksanakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan berjaya.

Katanya antara 17 isu itu termasuk persetujuan antara kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri berkenaan beberapa perkara penting seperti kuasa pentadbiran Sabah ke atas Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan; duti eksport untuk hasil kayu dan hutan; kuasa kerajaan negeri berkenaan kesihatan dan kawal selia bekalan elektrik dan gas.

"Empat isu yang baki pula dijangka diselesaikan oleh Jawatankuasa Kabinet Khas pada awal tahun 2020. Maka tidak sama sekali timbulnya sebarang isu mengenai pindaan perlembagaan ini tidak bersubstantif seperti yang didakwa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau merujuk laporan berita oleh akhbar The Star bertajuk "Khairy: Umno, PAS abstained from voting on constitutional amendment for Sabah, Sarawak as they wanted more substance”.

Jelasnya pada 9 April tahun lepas, 138 Ahli Parlimen Pakatan Harapan termasuk beberapa ahli bebas telah mengundi meluluskan pindaan itu, sebaliknya Khairy serta kesemua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan 19 ahli dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) tidak mengundi pindaan tersebut di Dewan Rakyat.

Katanya, hanya 148 undi diperlukan untuk meluluskan pindaan perlembagaan tersebut.

"Pada masa material sebelum mengundi, terdapat hanya satu permintaan daripada pihak pembangkang. GPS meminta agar lima perkataan: "in accordance with the MA63" dimasukkan ke dalam klausa utama dan bukannya di Nota Penjelasan.

Artikel Berkaitan:

"Pihak pembangkang tidak pernah melakukan sebarang usaha yang mulia bagi memastikan pindaan yang lebih substantif seperti yang dikatakan oleh YB Khairy,” katanya. -Bernama