Tiada jalan pintas lanjut pelajaran ke universiti

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.
A
A
A

SHAH ALAM - Pengambilan pelajar baharu ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dilakukan melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) atau secara terus dengan universiti berkenaan.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, UPSI menggunakan kaedah sedemikian tanpa melibatkan khidmat syarikat tertentu atau pihak ketiga.

Menurutnya, tiada sebarang jalan pintas atau laluan khas bagi kemasukan pelajar baharu.

“UPSI tidak gunakan orang perseorangan dan syarikat kemasukan secara laluan khas. Pengambilan pelajar hanya melalui UPU dan UPSI,” katanya.

Beliau mengulas mengenai penawaran sebuah syarikat perunding pendidikan yang mendakwa menyediakan laluan khas melanjutkan pelajaran ke IPTA tanpa UPU.

Syarikat itu turut agresif mengiklankan tawaran tersebut di laman Facebook dan Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Caj RM150 jaminan tempat ke IPTA

Berdasarkan maklumat di laman Facebook syarikat berkenaan, akaun tersebut dibuka sejak Oktober 2018 dengan menawarkan pengambilan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke IPTA bagi 2019 tanpa melalui UPU.

Artikel Berkaitan:

Status terakhir dikemaskini pada 4 Februari 2019 dengan memuat naik poster program taklimat terbuka bagi kemasukan terus ke sebuah universiti awam.

Ia mendapat reaksi negatif daripada netizen di ruangan komen apabila mendakwa program yang ditawarkan itu adalah penipuan.

“Scammer, don’t trust any word from them. You may feels regret after this,” tulis seorang pelayar.