Diugut gara-gara tularkan syarikat tipu tawaran ke IPTA

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Gara-gara menularkan identiti syarikat menjalankan skim penipuan tawaran kemasukan pelajar ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) melalui laman sosial, seorang penjawat awam menerima ugutan saman tahun lalu.

Mangsa hanya dikenali Hanis, 23, dari Shah Alam berkata, ugutan saman dikemukakan terhadapnya melalui laman sosial Facebook setelah dia menularkan modus operandi syarikat berkenaan, juga melalui beberapa platform laman sosial termasuk Instagram.

Menurutnya, pihak mengemukakan ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan syarikat berkenaan memandangkan dia turut memberi komen negatif dalam laman sosial Facebook rasmi syarikat itu sebelum ini.

"Saya bertekad menularkan aktiviti penipuan syarikat berkenaan kerana berang adik lelaki saya hampir tertipu dengan tawaran syarikat itu pada tahun lalu.

"Syarikat itu bukan sahaja mendakwa ada kaitan dengan KPM (Kementerian Pendidikan), bahkan menjanjikan jaminan slot kemasukan ke mana-mana IPTA dengan kursus pilihan kepada adik saya," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Hanis berkata, pada bulan Ogos tahun lalu, adik lelakinya menerima kiriman mesej daripada syarikat berkenaan yang meminta menghadiri satu seminar dijalankan di sebuah sekolah di Taman Datuk Harun, Petaling Jaya.

Text perbualan mangsa dengan wakil syarikat terbabit.
Text perbualan mangsa dengan wakil syarikat terbabit.

Menurutnya, syarikat berkenaan menjelaskan seminar itu adalah berkaitan taklimat tawaran kemasukan mudah pelajar ke IPTA di negara ini yang didakwa menggunakan laluan khas tanpa menggunakan saluran rasmi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) KPM.

Artikel Berkaitan:

"Setelah dua tahun gagal mendapat peluang sambung belajar selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sudah pasti tawaran itu menarik perhatian adik saya.

"Justeru, saya bersama adik saya mengambil keputusan menghadiri seminar itu tanpa berfikiran was-was," katanya.

Bagaimanapun, Hanis menjelaskan, dia dan adik lelakinya mula berasa ragu-ragu setelah tiba di program seminar terbabit kerana ia 'indah khabar dari rupa'.

Menurutnya, keraguan itu timbul susulan jumlah kehadiran pelajar ke program seminar itu sangat kurang, bilangan pegawai menguruskan program tidak lebih dua orang serta tiada bukti kaitan syarikat itu dengan mana-mana agensi kerajaan termasuk KPM.

Rentetan kehadiran mereka ke program terbabit, Hanis mula melakukan lebih banyak carian terhadap syarikat berkenaan dan mendapati banyak maklum balas orang ramai mendakwa syarikat itu adalah scammer atau penipuan.

Hanis berkata, dia bertindak menularkan aktiviti penipuan syarikat berkenaan melalui Facebook dan Instagram kerana tidak mahu lebih ramai pelajar terpedaya dengan tawaran tidak masuk akal dikemukakan syarikat berkenaan.

"Saya masih ingat beberapa peserta yang hadir ke seminar berkenaan selain adik saya yang bersetuju membayar RM150, hanya semata-mata termakan janji mereka dijamin melanjutkan pelajaran di IPTA pilihan dengan kursus pengajian pilihan.

"Dari segi logik akal, tidak mungkin syarikat berkenaan diberikan kuota kemasukan pelajar ke mana-mana IPTA bagi jumlah besar kerana bilangan kemasukan sebenarnya sangat terhad.

"Bagi saya, ugutan saman dikemukakan tidak sama sekali menggentarkan saya kerana kesemua bukti kehadiran adik saya ke program seminar serta rakaman audio perbualan dengan pegawai syarikat berkenaan sudah direkod," katanya.

Hanis turut menasihati orang ramai tidak mudah mempercayai tawaran 'luar biasa' dikemukakan mana-mana syarikat yang memberi jaminan kemasukan ke IPTA melalui 'laluan khas'.

"Sebaiknya sila rujuk dengan KPM melalui Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (UPU) bagi mengelakkan anda terperdaya di kemudian hari," katanya.