Bernhardt optimis pacu UiTM FC

Bernhardt
Bernhardt
A
A
A

PENGENDALI baharu UiTM FC, Frank Bernhardt optimis mampu memacu skuad The Lion Troops menghadapi saingan Liga Super 2020 seterusnya merealisasikan misi kekal dalam saingan liga elit itu pada 2021.

Menurutnya, walaupun UiTM FC bakal dibarisi hampir keseluruhan pemain universiti, namun ia bukan satu masalah untuk memberikan saingan kepada pasukan gergasi dalam Liga Super.

“Saya tahu Liga Super ini cukup sukar buat kami tetapi saya mempunyai banyak masa untuk membentuk pasukan yang baik. Walaupun pasukan ini pertama kali akan beraksi dalam kancah Liga Super, saya yakin kami mampu memberikan saingan.

“Saya sedar Liga Super adalah sebuah liga yang mencabar tetapi saya positif kami mampu bersaing berbekalkan semangat dan keinginan bagi mencapai misi yang telah ditetapkan pihak pengurusan iaitu kekal dalam Liga Super pada 2021,” katanya.

Bernhardt bukanlah nama asing dalam kancah bola sepak Malaysia apabila pernah menjadi Ketua Jurulatih skuad B-23 negara pada 2015 hingga 2017.

Beliau juga mempunyai pengalaman luas sebagai Pengarah Pembangunan Teknikal Estonia selain menjadi jurulatih dan pengurus Fundacion Real Madrid Clinic.

Mengulas mengenai persiapan UiTM FC, Bernhardt berkata, beliau telah bersama pasukan selama tiga minggu dan telah menilai sekitar 50 pemain yang datang untuk mencuba nasib.

“Masih ada muka lama tetapi ada yang telah meninggalkan pasukan ini. Saya masih dalam proses mengenal pasti pemain sebelum memuktamadkan senarai akhir pemain bulan ini.

“Berdasarkan pemerhatian saya, mereka semua amat berbakat dan berkualiti tetapi sudah tentu banyak perkara yang perlu diperbaiki termasuk menerapkan corak permainan yang dimahukan kepada pemain,” katanya.

Artikel Berkaitan: