Tangguh pengajian selepas sah hidap kanser

Nurhawanis (kanan) bersama ibu bapanya meminta pertolongan badan kebajikan One Hope bagi mengumpul dana perubatannya.
Nurhawanis (kanan) bersama ibu bapanya meminta pertolongan badan kebajikan One Hope bagi mengumpul dana perubatannya.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Alor Gajah terpaksa menangguhkan pengajiannya selepas dikesan menghidap kanser limfoma.

Nurhawanis Roslan,19, yang berasal dari Puchong, Selangor, berbuat demikian bagi menumpukan kepada rawatan yang perlu dilakukan termasuk kemoterapi dan transplan sel stem tubuh.

Menurutnya, dia disahkan menghidap kanser limfoma pada Disember 2018 selepas menerima rawatan di Hospital Serdang dan Ampang.

"Sebelum disahkan menghidap penyakit ini, saya hanya mengalami masalah batuk berpanjangan selain kerap berpeluh di waktu malam.

"Sekarang saya perlu menjalani pelbagai prosedur rawatan termasuk kemoterapi dan transplantasi sel stem autologous sepanjang tahun," katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Nurhawanis berkata, selepas setahun menjalani rawatan, doktor menasihatkannya supaya mendapatkan ubat Brentuximab yang perlu diambil untuk 16 pusingan dengan kos sebanyak RM115,000.

Katanya, keluarganya tidak mampu menampung kos perubatan itu memandangkan ayahnya hanya bekerja sebagai pemandu forklift dan ibunya pula suri rumah.

Anak ketiga dari empat beradik itu berkata, doktor memberitahu dia perlu makan ubat Brentuximab bagi memastikan sel kanser itu tidak dijangkiti semula.

Artikel Berkaitan:

"Doktor beritahu kalau saya tak ambil Brentuximab, rawatan yang saya jalani sebelum ini hanya sia-sia dan mungkin akan terus menghidap kanser limfoma.

"Saya amat berharap dapat bebas daripada penyakit ini dan boleh sambung semula pengajian pada September ini," katanya.

Berikutan tidak mampu menampung kos perubatan itu, Nurhawanis dan keluarganya bertemu dengan badan kebajikan One Hope bagi mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Pengerusi One Hope, Chua Sui Hui berkata, pihaknya melancarkan tabung khas bagi membantu Nurhawanis mengumpul dana.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun One Hope Charity & Welfare Berhad 3192433435 (Public Bank Berhad).