X

Kindly register in order to view this article
!

Rayani Air belum mohon sijil pengendali udara

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Rayani Air Sdn Bhd masih belum mengemukakan permohonan untuk mendapatkan Sijil Pengendali Udara (AOC) bagi meneruskan semula operasinya di negara ini, menurut sumber terdekat dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Beliau berkata, mustahil untuk syarikat penerbangan pertama patuh syariah Malaysia itu memulakan operasi tanpa memperoleh lesen dari CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) terlebih dahulu.

“Tiada lapangan terbang bagi operasi, tiada slot pengoperasian dan mereka tidak boleh berlepas,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan bekas ketua pegawai eksekutif Rayani Air, Ravi Alagendrran bahawa syarikat itu akan beroperasi semula tahun ini.

Dalam catatan di media sosial, Alagendrran berkata, syarikat penerbangan itu akan menampilkan imej baharu selain mengekalkan konsep patuh syariah.

CAAM merupakan pengawal selia awam yang bertanggungjawab menjaga keselamatan dan kecekapan perkhidmatan penerbangan manakala Mavcom mengawal hal ehwal berkaitan aspek ekonomi dan hubungan pengguna bagi industri penerbangan.

Ditanya tempoh untuk Rayani Air memperoleh AOC jika ia mengemukakan permohonan sumber itu berkata, proses kelulusan boleh mengambil masa berbulan-bulan untuk memastikan syarikat berkenaan mematuhi semua peraturan dan piawaian yang berkaitan dengan dasar, prosedur, sumber manusia, pesawat dan kelengkapan.

“Ini bukan isu CAAM terlalu tegas atau tidak (untuk menapis syarikat penerbangan yang tidak lagi beroperasi). Ini melibatkan keselamatan awam dan pengendali perlu memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh CAAM dan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” katanya.

Rayani Air mengendalikan penerbangan pada Disember 2015 namun AOC itu telah dibatalkan pada 13 Jun 2016 berikutan penyiasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan syarikat. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus