Rumah disimbah cat, diugut bakar

Selvarajan (tengah) bersama Jenny menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas diganggu ah long atas pinjaman yang tidak dilakukannya.
Selvarajan (tengah) bersama Jenny menunjukkan laporan polis yang dibuat selepas diganggu ah long atas pinjaman yang tidak dilakukannya.
A
A
A

IPOH - Seorang lelaki tertekan apabila diganggu sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang tidak dilakukannya.

Mangsa, S Selvarajan, 49, berkata, kehidupannya mula berubah apabila sindiket itu memasukkan wang sejumlah RM1,200 ke dalam akaun tanpa pengetahuannya pada 4 Disember 2019.

"Saya menerima mesej daripada lelaki dikenali sebagai Allan yang memaklumkan telah memasukkan wang ke dalam akaun saya dan perlu menjelaskannya sebanyak RM1,800 termasuk bunga.

"Terkejut dengan perkara itu, saya minta nombor akaun dan duit itu saya terus pulangkan tanpa ambil sesen pun," katanya ketika ditemui pemberita bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Jenny Choy Tsi Jen di Wisma Impian, Kampung Simee di sini hari ini.

Menurutnya, sindiket itu memburunya bagi menuntut kadar faedah yang kini telah mencecah RM12,300.

"Saya tidak pinjam dan wang diberi sudah dipulangkan. Kini minta bayar bunga pula dan rumah saya telah disimbah cat pada 23 Disember, terbaru Khamis lalu.

"Sindiket itu menghantar nota dan mesej ugutan mahu membakar rumah selain menyimbah cat di tempat kerja dengan niat supaya majikan akan buang saya kerja," katanya.

Selvarajan berkata, kumpulan itu mendakwa tidak gentar dengan tindakan polis setelah dia membuat tiga laporan termasuk daripada majikannya.

Artikel Berkaitan:

"Majikan saya tidak terlibat langsung dalam perkara ini. Saya pernah buat pinjaman sebelum ini tetapi berjaya melangsaikannya.

"Sejak itu saya insaf dan tidak pernah buat lagi pinjaman, tetapi mereka pula cuba memerangkap saya untuk dapatkan wang lebih," katanya.