JPN kesan cubaan ubahsuai sijil kelahiran anak

Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman (kiri) bersama Ketua Bahagian Penguatkuasa JPN negeri, Nasrom Yusof menunjukkan salinan sijil kelahiran yang telah diubahsuai.
Pengarah JPN negeri, Norazle Sulaiman (kiri) bersama Ketua Bahagian Penguatkuasa JPN negeri, Nasrom Yusof menunjukkan salinan sijil kelahiran yang telah diubahsuai.
A
A
A

MELAKA - Terdapat ibu bapa yang cuba mengubahsuai sijil kelahiran anak mereka, ketika mendaftar anak masuk sesi persekolahan, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Melaka, Norazle Sulaiman berkata, kes itu dikesan berlaku di sebuah sekolah rendah di Alor Gajah.

Menurutnya, kejadian tersebut dipercayai dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga murid terbabit yang mengubahsuai maklumat pada sijil kelahiran anak perempuannya yang berusia lapan tahun sewaktu membuat pendaftaran masuk ke sekolah.

"Cubaan itu bagaimanapun gagal apabila seorang guru yang terlibat dengan tugasan pendaftaran murid berjaya mengesan sijil kelahiran tersebut setelah dilihat meragukan lantas menghubungi JPN.

"Kes pemalsuan ini dapat dikesan pihak sekolah kerana mereka juga mempunyai jaringan hubungan dengan data JPN, dan apabila maklumat itu sampai ke tangan kita, kami pastikan sah ada cubaan meminda dan ubahsuai sijil kelahiran," katanya.

Norazle mendedahkan perkara itu ketika Program Bertemu Pelanggan dan Hari Terbuka JPN, di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di Ayer Keroh, di sini yang dirasmikan Exco Wanita, Pembangunan Keluarga, Hal Ehwal Kebajikan dan Orang Asli Melaka, Ginie Lim.

Berhubung kes berkenaan, Norazle berkata, tindakan mengubahsuai sijil kelahiran dipercayai bermotifkan menukar nama bapa murid.

"Ia berdasarkan pemerhatian ke atas sijil kelahiran yang cuba diubahsuai itu, mendapati salinan sijil kelahiran yang dibuat terdapat kesan keratan kertas yang ditampal pada petak maklumat kelahiran termasuk nama ibu, bapa, kewarganegaraan dan beberapa lagi.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa berkenaan telah diberi amaran supaya tidak mengulangi perbuatan mengubahsuai sijil kelahiran anak mereka jika tidak mahu berdepan hukuman," katanya.

Beliau berkata, tindakan memalsu dan mengubahsuai sijil kelahiran menyalahi Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) yang jika sabit kesalahan boleh di penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-dua sekali.

"Kes seumpama itu pernah dilaporkan berlaku tahun lalu ketika awal tahun membabitkan tiga beradik ketika pendaftaran murid di sebuah sekolah dalam daerah Melaka Tengah.

"Saya ingin mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya jangan cuba mengubahsuai sijil kelahiran kerana ianya menyalahi undang-undang negara," katanya.