Tiada ruang khas merokok di premis makanan: KKM

Lee Boon Chye (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (tiga dari kanan) ketika meninjau ruang derma darah.
Lee Boon Chye (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (tiga dari kanan) ketika meninjau ruang derma darah.
A
A
A

BATU GAJAH - Pengusaha premis makanan tidak dibenarkan menyediakan ruang khas merokok di kawasan perniagaan mereka.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, larangan itu termasuklah dalam lingkungan tiga meter dari kawasan premis.

"Mana-mana kedai tidak boleh sediakan ruang untuk merokok di kawasan restoran, tidak bolah ada yang merokok di situ termasuklah dalam lingkungan tiga meter.

"Jika ada yang sediakan di luar kawasan restoran, itu bukan lagi bidang kuasa kita, itu bawah kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT), tetapi dalam hal ini pengusaha perlu patuhi lesen operasi restoran yang dikeluarkan PBT," katanya ketika ditemui pada program Kempen Kesihatan Derma Darah anjuran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Batu Gajah di sini hari ini.

Menurutnya, setakat ini perbincangan yang diadakan bersama PBT dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hanya untuk mempertimbangkan penyediaan tempat buang putung rokok di kawasan awam.

"Menteri KPKT telahpun arahkan suapaya kemudahan itu boleh disediakan dan itu terpulang kepada PBT untuk buat keputusan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kompaun RM250 merokok di tempat makan berkuat kuasa Rabu ini!

Kementerian Kesihatan (KKM) mengumumkan larangan merokok di semua kedai makan, gerai makanan, medan selera, food truck dan restoran di atas kapal dan kereta api di seluruh negara berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.

Bagi kawasan larangan merokok di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 tindakan penguatkuasaan ialah mengenakan kompaun RM250 terhadap mereka yang didapati merokok di tempat larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM10,000 atau dua tahun penjara.

Artikel Berkaitan:

Lee Boon Chye (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (kanan) ketika meninjau ruang derma darah.
Lee Boon Chye (dua dari kanan) bersama Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar (kanan) ketika meninjau ruang derma darah.

Pemilik premis pula boleh dikenakan kompaun RM250 sekiranya tidak meletakkan tanda larangan merokok dan sekiranya gagal membayar kompaun, mereka boleh didakwa di mahkamah dengan denda maksimum RM3,000 atau enam bulan penjara.

Dalam perkembangan lain Boon Chye berkata, kesedaran masyarakat yang kurang terhadap pentingnya pemeriksaan awal bagi mencegah kanser antara punca berlakunya peningkatan kes baharu di negara ini.

Menurutnya, berdasarkan rekod hampir 95 peratus kes kanser yang dikesan awal pada tahap satu boleh sembuh dan dipulihkan menerusi rawatan.

"Kalau sudah sampai tahap empat, susah sikitlah, kerana itu kita perlu dapatkan saringan supaya boleh mengesan kanser di peringkat awal dan melalui media kita mesti tingkatkan kefahaman masyarakat bahawa penyakit ini boleh dirawati," katanya.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan terdapat peningkatan bilangan kes baharu kanser dikesan dalam tempoh lima tahun bermula 2012 hingga 2016 iaitu 115, 238 kes berbanding 103,507 kes bagi tempoh 2007 hingga 2011.

Sepuluh jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat negara ini bagi tempoh 2012 hingga 2016 ialah payudara, kolorektal, paru-paru, limfoma, nasopharynx, leukemia, kelenjar prostat, hati, pangkal rahim (serviks) dan ovari.