Tan Yee Kew tak ambil peduli isu jelir lidah

Tan Yee Kew
Tan Yee Kew
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Wangsa Maju, Dr Tan Yee Kew enggan mengulas lanjut isu kontroversi beliau menjelir lidah ke arah sekumpulan peniaga yang membantah pemindahan penjaja Uptown Danau Kota ke tapak baharu yang tular semalam.

Beliau menganggap isu tersebut tidak serius sebaliknya sengaja diperbesarkan oleh 'cybertroopers' yang diupah pembangkang untuk menjatuhkan imej pemimpin kerajaan.

Menurutnya, beliau akui kecewa dengan isu tersebut apabila perjuangannya menyelesaikan masalah penjaja tidak diberikan perhatian sebaliknya media lebih berminat memperbesarkan isu jelir lidah.

"Kerana (Datuk Seri) Najib Razak yang komen terus jadi perhatian. Pada saya isu itu tidak sepenting nasib penjaja Danau Kota yang perlu ditumpukan.

"Kita dah tukar kerajaan, kita mahu perjuangkan keadilan untuk membela golongan bawahan. Pakatan Harapan (PH) sudah berjanji membela B40, bawa reformasi, itu yang kita lakukan tapi usaha itu tidak diberikan perhatian sewajarnya," katanya pada sidang akhbar di Pusat Khidmat Wangsa Maju hari ini.

Yee Kew (dua dari kanan) bersama Majlis Perwakilan Penduduk yang hadir ke pejabatnya sebagai tanda menyokong usahanya menyelesaikan isu penjaja Uptown Danau Kota.
Yee Kew (dua dari kanan) bersama Majlis Perwakilan Penduduk yang hadir ke pejabatnya sebagai tanda menyokong usahanya menyelesaikan isu penjaja Uptown Danau Kota.

Semalam, Sinar Harian melaporkan video aksi Yee Kew yang menjelir lidah ke arah peniaga yang berhimpun membantah pemindahan Uptown Danau Kota ke tapak baharu, Bazaria Wangsa Maju mengundang kecaman netizen.

ARTIKEL BEKAITAN: Isu Uptown: Yee Kew dakwa pihak bantah hanya sindiket, kroni

Artikel Berkaitan:

Yee Kew memberitahu, beliau tidak mahu memperbesarkan kritikan dan kecaman terhadapnya sebaliknya terus fokus menyelesaikan isu di kawasannya.

"Saya tak ambil peduli perkara itu kerana yang penting isu penjaja dan komitmen saya terhadap pengundi di Wangsa Maju. Saya tidak peduli komen negatif dan tidak fikir melakukan sesuatu yang salah.

“Saya rasa sudah melakukan sesuatu yang betul dan saya rasa bagus. Saya juga mendapat komen positif yang menyokong usaha saya seperti dari Nor Suhana Ishak yang anggap saya seperti 'iron lady' kerana berjaya selesaikan masalah penduduk Wangsa Maju dalam tempoh dua tahun, sedangkan dua Ahli Parlimen sebelum ini tidak berani nak sentuh Uptown Danau Kota," katanya.

Terdahulu Yee Kew memaklumkan telah membuat tiga kali bancian sebelum menyenaraikan 500 peniaga yang layak untuk ditawarkan lesen berniaga di tapak baharu.

Bagaimanapun serami 61 peniaga yang tidak hadir bagi proses undi sebanyak tiga kali antara Julai hingga Ogos dianggap tidak berminat berniaga di tapak itu.

Kekosongan itu kini dibuka untuk permohonan baharu yang diuruskan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai 90 peratus peniaga terdiri daripada kaum Melayu, 20 peniaga Cina dan enam peniaga India adalah bukti dakwaan pihaknya tidak bersikap rasis dan membawa kroni terdiri peniaga Cina masuk ke tapak baharu itu.