X

Kindly register in order to view this article
!

Rambo jatuh sakit setelah pemergian tuannya...

Rambo dibawa ke pusara bapa Fadhil undang sebak netizen. - Foto Facebook Fadhil
A
A

JAKARTA - Kisah seekor kucing yang bukan sahaja jatuh sakit malah mengalami penurunan berat badan mendadak kerana bersedih selepas kematian tuannya menjadikan netizen sebak.

Fadhil Raihan berkongsi kisah kucing milik arwah bapanya di Facebook.

Katanya, Rambo adalah kucing kesayangan arwah bapanya dan kasih sayang mereka sangat erat sehinggakan ketika bapa Fadhil meninggal dunia pada 2 Januari lalu, Rambo demam dan kucing tersebut tidak mahu makan hingga terpaksa dimasukkan ke wad di klinik haiwan untuk beberapa hari.

Selepas sembuh daripada sakit, Rambo dibenarkan pulang ke rumah haiwan itu tidak gembira dan hanya tidur serta duduk di hadapan televisyen sahaja.

Beberapa hari kemudian, ketika pemeriksaan, doktor haiwan menjelaskan bahawa simptom Rambo itu bukanlah penyakit fizikal tetapi sebenarnya berkait dengan psikologi kerana kucing juga mempunyai naluri dan perasaan yang sedih atas kehilangan insan yang mereka sayangi.

Pemeriksaan kesihatan juga mendapati keadaan fizikal Rambo agak sihat, penghadamannya baik cuma jiwanya kosong.

Justeru, keluarga Fadhil memutuskan untuk membawa Rambo pergi ke pusara untuk melawat tuan kesayangannya.

Di sana, Rambo duduk sahaja di hadapan batu nisan sambil memerhatikan keadaan sekeliling.

"Setelah membaca doa selesai, si Rambo tidak bergerak dari tempat duduknya. Pandangannya hanya tertuju ke arah batu nisan dan sesekali menggosokkan badannya di atas batu nisan.

"Kami semua hanya menyaksikan momen tersebut dan mengabadikan momen Rambo sebelum pulang," katanya.

Kata Fadhil sebaik tiba di rumah, Rambo dilihat sudah menunjukkan selera makan, mungkin memahami tuannya telah pergi buat selamanya.

Kisah itu tular di laman sosial membuatkan netizen turut bersimpati di atas pemergian arwah ayah Fadhil dan mendoakan keluarga itu tabah menghadapi dugaan.

Sehingga kini, netizen masih membanjiri ruang komen untuk memberi kata-kata semangat kepada keluarga tersebut.

Posting itu mendapat reaksi tanda suka iaitu mencecah 47,000 dan 25,000 perkongsian daripada netizen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus