Hina Raja Melayu: Gubal akta baharu

Wan Emril Nizam Wan Embong
Wan Emril Nizam Wan Embong
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Persekutuan disaran menggubal satu akta baharu dalam usaha menangani kes membabitkan penghinaan terhadap Raja dan Sultan di negara ini.

Presiden Majlis Belia Pahang, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, menerusi akta baharu itu dengan memberikan hukuman setimpal, mampu memberi pengajaran kepada pelaku supaya tidak bertindak biadab terhadap institusi beraja.

Menurutnya, pada ketika ini, individu yang menghina institusi Raja hanya dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan 1948, justeru undang-undang baharu perlu dikuatkuasakan menerusi penggubalan akta baharu bagi tujuan terbabit.

“Perbuatan menghina Raja atau Sultan tidak sama dengan menghasut yang termaktub di bawah akta sedia ada.

“Jadi ia seharusnya diasingkan kerana martabat institusi itu amat tinggi dalam masyarakat Melayu sejak era kegemilangan kesultanan Melayu. Kita semua sedia maklum perkembangan Islam berkait rapat dengan peranan Raja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, beberapa pihak menyaran agar tindakan tegas diambil terhadap individu yang menghina raja Melayu termasuk dilucutkan kerakyatan.

Malah, sebuah laman Facebook, Calon Lucut Kewarganegaraan Malaysia (CLKM) telah diwujudkan dengan menyenaraikan beberapa nama rakyat di negara ini yang boleh dilucutkan kewarganegaraan.

Calon yang disenaraikan ialah netizen yang membuat kenyataan di media sosial khususnya bertentangan dengan prinsip Rukun Negara dan Perlembagaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penggubalan undang-undang itu bukan untuk mendewakan Raja, sebaliknya menghormati peranan mereka sebagai ketua agama dan pelindung rakyat.

“Jangan silap tafsir istilah Daulat Tuanku dengan menganggap ia mendewakan Raja, sebaliknya ia simbol menghormati dan menyanjung institusi Diraja.

“Kami menggesa penggubalan undang-undang baharu bagi mengenakan hukuman lebih berat terhadap individu yang menghina institusi Raja seperti di negara jiran,” tegasnya.

Katanya, penggubalan undang-undang baharu perlu disegerakan berikutan peningkatan kes menghina Raja.

“Undang-undang yang mengenakan hukuman lebih berat, termasuk penjara mandatori dan denda lebih besar boleh mengekang tindakan pihak terbabit.

“Kami juga bersetuju dengan tindakan melucutkan kerakyatan sekiranya ia memberi kesan negatif kepada mangsa,” katanya.