Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu makin padat

Kah Eng (kiri) bersama Ahmadi melihat kawasan berpaya seluas 2.5 ekar yang perlu ditambak bagi menyelesaikan masalah kepadatan kawasan tanah perkuburan Islam Bakar Batu ketika meninjau tanah perkuburan di kawasan kampung tersebut di Kampung Bakar Batu semalam.
Kah Eng (kiri) bersama Ahmadi melihat kawasan berpaya seluas 2.5 ekar yang perlu ditambak bagi menyelesaikan masalah kepadatan kawasan tanah perkuburan Islam Bakar Batu ketika meninjau tanah perkuburan di kawasan kampung tersebut di Kampung Bakar Batu semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Batu di sini kini semakin padat sekali gus tidak mampu menampung jenazah Islam di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang.

Ketua Penyelaras Perkampungan Melayu DUN Stulang, Ahmadi Mohd Din berkata, tanah perkuburan itu adalah untuk masyarakat Islam dari sekitar Taman Sri Stulang, Taman Sri Iskandar, Kampung Datuk Sulaiman Menteri dan Taman Bayu Puteri.

Beliau berkata, isu itu boleh ditangani sekiranya tanah berpaya seluas satu hektar yang terletak bersebelahan tanah yang diwartakan oleh Jabatan Agama Islam Johor sekitar tahun 70-an untuk dijadikan tanah perkuburan itu dapat ditambak.

“Jika ditambak, isu kepadatan kubur dapat diselesaikan bagi jangka masa selama 30 tahun,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang Andrew Chen Kah Eng dan Ketua Kampung Bakar Batu Razali Mohamed di sini semalam.

Ahmadi berkata, Kah Eng telah memperuntukkan RM20,000 bagi memulakan projek penambakan di tanah berkenaan, bagaimanapun anggaran kos bagi projek itu adalah kira-kira RM1.5 juta.

Dalam pada itu, Kah Eng berkata, beliau akan mengajukan isu berkenaan kepada kerajaan negeri bagi memastikan masalah itu dapat ditangani segera.

“Saya sudah melakukan inisiatif menambak tanah ini secara berperingkat, namun, keupayaan saya seorang sahaja tidak mencukupi kerana perkara ini memerlukan bantuan dan usaha orang ramai,” katanya.

Beliau berkata, DUN Stulang mempunyai 50,000 penduduk dan 40 peratus daripadanya adalah masyarakat Melayu. - Bernama

Artikel Berkaitan: