Rayu baik pulih segera jeti roboh

Rizam (kiri) bersama nelayan menunjukkan keadaan Jeti Nelayan Simpang Empat BNO yang runtuh pada 31 Disember tahun lalu.
Rizam (kiri) bersama nelayan menunjukkan keadaan Jeti Nelayan Simpang Empat BNO yang runtuh pada 31 Disember tahun lalu.
A
A
A

SABAK BERNAM - Kira-kira 60 nelayan pesisir pantai merayu kerajaan menyalurkan peruntukan segera bagi kerja-kerja baik pulih Jeti Nelayan Kampung Empat Simpang Empat Bagan Nakhoda Omar (BNO) yang tiba-tiba runtuh dalam kejadian 31 Disember lalu.

Seorang nelayan, Zulkifly Ibrahim, 41, berkata, tindakan perlu dilakukan segera bagi tujuan keselamatan nelayan yang menggunakan laluan jeti itu pada setiap hari.

"Apabila jeti ini roboh maka kami susah hendak membawa minyak, alatan nelayan dan motosikal ke pelantar jeti yang menjadi tempat berkumpul nelayan sebelum ini.

"Kami bimbang jika disebabkan hal-hal seperti ini menyebabkan nelayan tidak dapat turun ke laut sekali gus hilang punca pendapatan," katanya.

Zulkifly berkata, selain itu, nelayan yang majoritinya berpendapatan rendah bimbang pendapatan mereka turut terjejas.

"Rezeki kami tidak menentu, lebih-lebih lagi jika musim tengkujuh dan laut bergelora kami tidak keluar ke laut.

"Purata pendapatan bulanan kami pula hanya sekitar RM1, 000 hingga RM1, 500 sebulan sahaja," katanya.

Ketua Komuniti Nelayan Simpang Empat BNO, Mohd Fadli Rusni, 42, berkata, jeti berusia 25 tahun itu terlalu uzur dan memerlukan pembaikan segera.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini pun ada tanda tapi tidaklah besar mana. Boleh kelihatan beberapa kesan retakan pada lantai jeti," katanya.

Katanya, perkara itu sudah dimaklumkan kepada pihak berwajib, namun masih tiada tindakan dilakukan.

"Buat masa ini, kita bercadang membina jeti kayu sementara yang mampu bertahan dalam tempoh dua hingga tiga tahun," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar, Rizam Ismail meluangkan masa meninjau keadaan jeti terbabit.

Rizam berkata, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) diminta segera turun padang berbincang bersama nelayan bagi menangani masalah terbabit.

"Saya bersedia mewakili nelayan di BNO untuk berbincang bersama pihak LKIM demi memastikan kebajikan nelayan terjaga," katanya.

Sinar Harian 31 Disember tahun lalu melaporkan sebahagian struktur Jeti Nelayan Simpang Empat BNO sepanjang kira-kira enam meter di sini runtuh.

Kejadian jam 9 pagi itu bagaimanapun tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan.