X

Kindly register in order to view this article
!

Pejalan kaki maut digilis treler

Mangsa disahkan maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang pejalan kaki maut selepas digilis sebuah treler dalam kejadian di Lorong Bagan 2 di sini malam semalam.

Dalam kejadian jam 11.05 malam itu, pemandu treler berkenaan dikatakan berhentikan kenderaannya di hadapan pejabat bagi mengambil dokumen penghantaran barang.

Selepas lima minit kemudian, dia kembali semula ke kenderaannya bagi meneruskan perjalanan namun ketika trelernya mula bergerak dia merasakan seperti melanggar sesuatu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemandu berusia 35 tahun yang curiga dengan keadaan itu bertindak memberhentikan kenderaan untuk melakukan pemeriksaan.

Menurutnya, ketika turun dari treler rakannya yang berada berhampiran memberitahu ada seorang lelaki yang terbaring di bawah kenderaannya.

"Pemandu treler berkenaan segera menghubungi talian kecemasan bagi memaklumkan kejadian dan tidak lama kemudian ambulans dari Hospital Seberang Jaya tiba di lokasi.

"Namun pemeriksaan yang dilakukan mendapati lelaki berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Noorzainy berkata, mayat lelaki berkenaan dibawa ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan polis sehingga kini masih mengenal pasti identiti mangsa.

Katanya, kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan beliau meminta kerjasama orang awam yang menyaksikan kejadian atau sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi menyalurkan maklumat.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf