Lembu 'tidak bertuan' rempuh kereta wartawan Sinar Harian

Hazelen Liana menunjukkan keadaan keretanya yang rosak selepas dirempuh lembu 'tidak bertuan' di jalan Rantau Panjang Lama.
Hazelen Liana menunjukkan keadaan keretanya yang rosak selepas dirempuh lembu 'tidak bertuan' di jalan Rantau Panjang Lama.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Wartawan Sinar Harian Kelantan berdepan detik cemas apabila kereta jenis Perodua Kancil yang dipandunya dirempuh seekor lembu dalam kejadian di Jalan Rantau Panjang Lama berhampiran Kampung Bukit Lata di sini malam tadi.

Kejadian jam 9.30 malam itu berlaku ketika mangsa, Hazelen Liana Kamarudin, 36, dan suami, Muhammad Yatimin Abdullah, 36, dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Bunut Susu sejurus selesai melakukan tugasan di sekitar Rantau Panjang.

Hazelen Liana berkata, sejurus tiba di lokasi kejadian salah seekor daripada kira-kira 10 ekor lembu 'tidak bertuan' itu melanggar kereta yang dipandunya secara tiba-tiba.

"Keadaan laluan itu sangat gelap dan membuatkan saya memilih untuk memandu perlahan dengan kadar kelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam di sepanjang laluan tersebut.

"Namun secara tiba-tiba kami telah dikejutkan dengan bunyi dentuman yang agak kuat dari sebelah kiri dan mendapati salah seekor daripada sekumpulan lembu telah merempuh kereta saya.

"Mujurlah ketika itu saya memandu dalam keadaan perlahan dan sempat mengawal kereta daripada terbabas," katanya.

Menurutnya, kesan perlanggaran itu menyebabkan bahagian depan keretanya remuk selain lampu di bahagian kiri pecah.

Katanya, dia dan suami bersyukur kerana mereka terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius.

Artikel Berkaitan:

"Sebelum ini saya hanya mendengar dan membuat liputan perihal kemalangan melihat lembu 'tidak bertuan' di sekitar kawasan Rantau Panjang.

"Namun hari ini (semalam) saya sendiri berdepan dan merasai detik cemas itu," katanya.

Hazelen Liana berkata, dia amat berharap pemilik-pemilik haiwan berkenaan supaya lebih bertanggungjawab dan tidak melepaskan lembu-lembu mereka secara sesuka hati kerana ia melibatkan soal keselamatan nyawa pengguna di laluan berkenaan.

Difahamkan kemalangan melibatkan lembu 'tidak bertuan' sudah kerap kali berlaku di kawasan tersebut sehingga meragut nyawa pengguna laluan berkenaan.

Faktor jalan gelap tanpa sebarang lampu jalan juga mendorong kepada kejadian kemalangan di kawasan sekitar Rantau Panjang.

Sejurus selepas itu laporan polis telah dibuat di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas pada jam 11.30 malam.