'Malaysia hilang menteri yang bagus'

Dr Rais Hussin
Dr Rais Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - Keputusan Dr Maszlee Malik yang meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan adalah satu kehilangan kepada negara kerana beliau sudah melaksanakan tugas dengan baik.

Pengerusi Biro Dasar dan Strategi Bersatu, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, Dr Maszlee sudah membuat perubahan untuk kebaikan orang ramai, tiada skandal dan tiada video memalukan.

"Beliau tiada projek 'terbang' dan tidak menipu sijil akademik serta universitinya... tapi dia perlu berhenti. Ada orang yang mempunyai semua itu dan tidak menunjukkan prestasi terbaik masih bekerja seperti biasa," katanya kepada Sinar Harian.

Rais berkata, beliau telah berjumpa dengan Maszlee untuk menunjukkan solidariti yang turut dihadiri ramai kalangan ahli akademik, menteri dan penyokongnya supaya kembali semula menerajui pendidikan negara.

"Bagi saya, Malaysia baru sahaja kehilangan seorang menteri yang bagus," katanya.

Semalam, Maszlee mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Pendidikan berkuat kuasa hari ini.

Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata, dalam tempoh 20 bulan menerajui Kementerian Pendidikan dengan pelbagai pencapaian, malangnya tajuk sensasi lebih mewarnai media massa.

ARTIKEL BERKAITAN: Netizen 'salute' Maszlee letak jawatan Menteri Pendidikan

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, banyak isu sensitif dan sengaja diperbesarkan lebih menjadi pilihan utama sehingga menjadikan dirinya menteri yang menimbulkan banyak krisis dalam pendidikan.

Maszlee terdahulu memaklumkan pencapaian Kementerian Pendidikan sejak menerajui kementerian itu pada Mei 2018.

Antaranya bacaan semula Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU), pemerkasaan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dan dasar inklusif untuk Murid Berkeperluan Khas, warga B40, anak tiada dokumen dan dasar sifar cicir yang memberi makna baharu kepada ratusan ribu murid di seluruh negara.