BN boleh menang di Kimanis, kata Hadi

ABDUL HADI
ABDUL HADI
A
A
A

MARANG - Pas menzahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional (BN) mampu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari depan.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, ia berdasarkan situasi politik semasa dihadapi kerajaan Pakatan Harapan (PH), selain perubahan sokongan pengundi berbanding ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menurutnya, selain itu kerjasama Muafakat Nasional dengan UMNO dalam beberapa siri PRK sebelum ini termasuk di Tanjung Piai, Johor sudah menunjukkan kejayaan dan yakin ia akan berterusan.

"Sekarang ini kita boleh nampak kerjasama Pas dan UMNO semakin berhasil dan alhamdulillah, kita sudah capai beberapa kejayaan sebelum ini. Selepas ini kita tunggu kemenangan di Sabah (PRK Kimanis) pula.

"Kita yakin BN boleh menang melihatkan kepada peratusan pengundi. Pada PRU14 lepas, berlaku protes apabila pengundi tidak mahu mengundi BN selain banyak berlaku undi rosak.

"Melihatkan situasi politik semasa hari ini, sikap pengundi sudah berubah. Justeru kita yakin BN boleh menang PRK Kimanis," katanya ketika ditemui di kediamannya di Rusila hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PRK Kimanis: Mohamad Alamin dipilih calon BN

Jelasnya, calon BN yang juga Ketua UMNO Kimanis, Datuk Mohamad Alamin seorang yang cukup berpengalaman dan dikenali penduduk tempatan.

Katanya, sebagai rakan dalam Muafakat Nasional, Pas sudah menggerakkan jenteranya di Malaysia Timur iaitu di Sabah dan Sarawak untuk membantu kempen calon BN di PRK Kimanis.

Artikel Berkaitan:

"Antara isu utama yang kita lihat di Kimanis ialah memperkasakan hak bumiputera kerana 90 peratus penduduk di Sabah adalah bumiputera.

"Kita menyaksikan DAP bersikap terlalu perkauman dan mahu menguasai PH secara perkauman. Walaupun Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) adalah daripada PH, mereka juga merasakan DAP terlalu perkauman.

"Jadi kita harapkan ahli Warisan dan Bersatu mengundi BN untuk menyelamatkan keadaan," katanya.