X

Kindly register in order to view this article
!

Anifah gagal usaha akhir batal keputusan petisyen pilihan raya Kimanis

A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak usaha terakhir Datuk Seri Anifah Aman untuk menyemak semula keputusan dibuat mahkamah sama yang membatalkan kemenangannya di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), yang menyaksikan pilihan raya kecil diadakan di kawasan itu.

Panel lima hakim diketuai Datuk Mohd Zawawi Salleh sebulat suara menolak permohonan Anifah bagi semakan semula keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2 Disember 2019 yang membatalkan kemenangannya di Kimanis dalam PRU14.

Hakim, Mohd Zawawi berkata, Anifah sebagai pemohon gagal memenuhi Aturan 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 bagi mahkamah membenarkan permohonan semakannya.

“Kuasa mahkamah untuk menyemak keputusan satu lagi panel Mahkamah Persekutuan adalah terhad dan bagi keadaan luar biasa,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerusi Kimanis: Anifah sedih, Warisan terima keputusan mahkamah

Mohd Zawawi berkata, selepas mendengar hujahan pihak-pihak terlibat, panel hakim berpendapat pemohon gagal memenuhi Aturan 137.

Beliau berkata, panel itu juga tidak terpengaruh dengan hujahan serong peguam pemohon semasa rayuan pada 2 Disember yang didengar di hadapan panel sebelum ini.

“Kami dapati prejudis itu tidak dibangkitkan dalam permohonan semakan ini. Justeru, kami menolak permohonan semakan dengan kos,” kata hakim.

Mohd Zawawi yang bersidang bersama Hakim, Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof, memerintahkan Anifah membayar kos RM200,000 kepada ketiga-tiga responden iaitu calon Parti Warisan Sabah, Datuk Karim Bujang, pegawai pilihan raya bagi kerusi Parlimen Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mahkamah Khas Pilihan Raya pada 16 Ogos tahun lepas mengisytiharkan kemenangan Anifah di kerusi Kimanis di Sabah pada pilihan raya umum, Mei 2018 adalah batal dan tidak sah.

Pada 9 Mei 2018, Anifah memenangi kerusi dengan majoriti 156 undi, apabila meraih 11,942 undi berbanding Karim yang mendapat 11,786 undi manakala seorang lagi calon, Jaafar Ismail dari Parti Harapan Rakyat Sabah, memperoleh 1,300 undi.

Karim memfailkan petisyen pilihan raya pada 18 Jun 2018 untuk mencabar keputusan pilihan raya itu.

Pada 19 November 2018, Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Supang Lian membatalkan petisyen pilihan raya Karim.

Pada 18 Februari tahun lepas, Mahkamah Persekutuan merujuk kembali petisyen pilihan raya Karim ke Mahkamah Pilihan Raya untuk perbicaraan selepas membenarkan rayuannya untuk membatalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya sebelum itu yang menolak petisyen Karim.

Perbicaraan semula didengar di hadapan Hakim Mahkamah Pilihan Raya, Lee Heng Chung yang kemudiannya membatalkan keputusan di kawasan itu, memutuskan bahawa kehadiran kertas undi tambahan telah mempengaruhi keputusan undi.

Bercakap di luar mahkamah, peguam, Tengku Fuad Tengku Ahmad yang mewakili Anifah berkata, tiada lagi peluang di mahkamah bagi anak guamnya untuk meneruskan tuntutan undang-undangnya bagi mencabar keputusan petisyen pilihan raya itu.

“Saya diarahkan untuk menyampaikan kepada semua kami menghormati keputusan mahkamah,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Kimanis dijadualkan pada 18 Januari dan penamaan calon berlangsung esok. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus