Sisa kimia haram: Kerajaan NS tawar RM10,000 kepada pemberi maklumat

Datuk Seri Aminuddin (tengah) dan Datuk Mohd Khairul Adib bergambar bersama kakitangan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini.
Datuk Seri Aminuddin (tengah) dan Datuk Mohd Khairul Adib bergambar bersama kakitangan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri hari ini.
A
A
A

SEREMBAN – Negeri Sembilan menjadi negeri pertama di negara ini yang menawarkan insentif sebanyak RM10,000 kepada mereka yang menyalurkan maklumat berkaitan pembuangan sisa kimia di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri komited menangani isu itu dan mahu orang ramai bekerjasama sehingga pihak yang tidak bertanggungjawab itu ditangkap.

Menurutnya, kerajaan negeri kerugian lebih RM300,000 tahun lalu bagi tujuan pembersihan sisa kimia di sungai sekitar Seremban dan Mantin.

“Insentif itu disediakan kerana kita tidak mahu lagi berlaku pembuangan sisa kimia di kawasan sungai atau kolam takungan sehingga terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi untuk pembersihan.

“Kita harap tiada lagi kes pencemaran bahan kimia berlaku tahun ini. Dua kes pada Disember lalu perlu dijadikan pengajaran,” katanya selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Wisma Negeri di sini hari ini.

Aminuddin bersalaman dengan sebahagian kakitangan pentadbiran Negeri Sembilan.
Aminuddin bersalaman dengan sebahagian kakitangan pentadbiran Negeri Sembilan.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Razali Abdul Malik.

Aminuddin juga memberitahu Negeri Sembilan akan memperhebatkan lagi aktiviti pelancongan di negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2020.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, pihaknya kini sedang merancang mewujudkan pelancongan sukan di negeri itu dengan menjadikan ragbi sebagai salah satu sukan untuk menarik pelancong.

“Selain itu, dari segi kebudayaan seperti aktiviti mengoca bola juga akan diketengahkan kepada pelancong luar, bagi menunjukkan keunikan yang ada di negeri ini,” katanya.