Pemberian vaksin pneumokokal mulai Jun 2020: Dr Lee Boon Chye

Boon Chye mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat, di sini hari ini.
Boon Chye mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat, di sini hari ini.
A
A
A

IPOH - Pemberian vaksin pneumokokal secara percuma kepada semua kanak-kanak menerusi Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) yang diumum pada Belanjawan 2020 akan bermula pada Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kementeriannya kini sedang mendapatkan bekalan sebelum diagihkan ke semua klinik dan hospital kerajaan seluruh negara.

Menurutnya, pemberian vaksin pneumokokal itu hanya akan diterima oleh bayi yang lahir bermula 1 Januari 2020.

"Kerajaan telah memperuntukkan RM60 juta untuk mula tahun ini dan kita masih dalam proses perolehan ubat tersebut.

"Selepas itu kita akan edarkan kesemua klinik dan hospital kerajaan dan kita jangka pelaksanaannya akan bermula Jun nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Gunung Rapat di sini hari ini.

Boon Chye berkata, pemberian vaksin tersebut akan dibuat secara undur tarikh (backdated) bagi mereka yang lahir sebelum Jun 2020.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian Kesihatan komited mulakan suntikan vaksin pneumococcal

Menurutnya, bagi bayi yang lahir sebelum 1 Januari 2020, mereka tidak layak menerima vaksin tersebut kerana tidak termasuk di dalam belanjawan.

Artikel Berkaitan:

Penyakit pneumokokal disebabkan oleh bakteria dikenali sebagai streptococcus pneumoniae, yang boleh menyebabkan pelbagai jenis jangkitan serius dan sering berlaku dalam kalangan golongan muda, warga emas dan mereka yang mengalami keadaan perubatan kronik.

Ini termasuk jangkitan paru-paru/inflamasi (radang paru-paru), meningitis (inflamasimembran yang mengelilingi saraf tunjang atau otak), sepsis (jangkitan dalam darah), sinusitis (jangkitan sinus) dan otitis media (jangkitan telinga tengah).

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan pihaknya komited untuk memulakan suntikan pneumokokal kepada semua kanak-kanak tahun depan melalui peruntukan RM60 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2020.