X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 24 Mei 2022

Dua meriam abad ke-18 ditemukan di Padang Kota

Salah satu meriam lama yang ditemui.
A
A

GEORGETOWN - Dua laras meriam yang dipercayai dari abad ke-18 ditemukan di kawasan tapak projek pengukuhan tembok laut Espanade (Padang Kota) baru-baru ini.

Meriam yang berukuran 3.06 meter dengan berat dianggarkan 3 tan setiap satu dipercayai jenis Bloomfield ditemui ketika kerja-kerja mengorek tanah dilakukan pada 9 hingga 27 Disember tahun lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat berkata, asal usul meriam itu belum dapat dipastikan dan pihaknya akan menunggu proses pembersihan yang akan dijalankan Jabatan Warisan Negara (JWN) dengan Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurutnya, terdapat ukiran pada meriam itu yang bertulis '1757' dan dianggarkan usianya adalah daripada sekitar tahun 1800 namun kita perlu menunggu kerja pembersihan selesai bagi mengetahui usianya yang sebenar.

"Jika benar ia bermaksud meriam ini tiba lebih awal ke Pulau Pinang sebelum kedatangan Francis Light.

"Penemuan ini adalah satu titik bermakna dalam proses sejarah di Pulau Pinang bermula dan hasil kerja konsevarsi ini yang dijalankan bersama Universiti Sains Malaysia nanti merupakan satu khazanah pada tamadun dan pembangunan di Pulau Pinang sendiri," katanya pada sidang akhbar di sini pagi tadi.

Hadir sama ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Ketua Pengarah JWN, Mesran Mohd Yusop.

Projek pengukuhan tembok laut berhampiran kawasan Padang Kota di sini dijalankan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dengan kerjasama George Town Conservation and Conservation dan Development Corporation serta Think City.

Kon Yeow menunjukkan kawasan dua laras meriam yang ditemui.
Kon Yeow menunjukkan kawasan dua laras meriam yang ditemui.

Kawasan projek berkenaan berada dalam Zon Teras, Tapak Warisan Dunia UNESCO Georgetown serta Zon Penampan bagi Tapak Warisan Kebangsaan Kota Cornwallis.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, penemuan dua laras meriam lama itu merupakan satu lagi penemuan berharga bagi Kerajaan Pulau Pinang dan melengkapkan data sejarah awal mengenai kota lama itu.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri tidak bercadang untuk mengorek keseluruhan kawasan Padang Kota bagi mencari artifak atau tinggalan lain.

"Kita tidak bercadang hendak korek semua, tetapi jika ditemui secara tidak sengaja seperti ini, kita anggap ia satu penemuan yang baik.

"Mungkin pihak berkenaan boleh menggunakan mesin canggih bagi mengesan kedudukan lain-lain artifak di sini," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk memindahkan meriam tersebut ke dalam Kota Cornwallis untuk diletakkan bersama dengan meriam yang lain bagi mengurangkan proses degradasi dan kerosakan selain memudahkan proses konservasi kelak.

Sebelum ini, meriam pertama dan kedua dijumpai pada 19 Februari 2018 kira-kira 51 meter dari pintu barat Kota Conwallis manakala yang ketiga dan keempat pada 24 Disember 2018 di bilik stor kota berkenaan.

Semua kerja ekskavasi itu dijalankan sejak 2017 dan penemuan meriam serta relik lain dipercayai mampu memberi fahaman baru dan nilai tambah sejarah asal Kota Cornwallis.

Menurut rekod sejarah awal Pulau Pinang, di tapak Kota Cornwallis itu mempunyai lebih 100 meriam dan lebih kurang 10 mortar yang masih tertanam di bawah tanah.

Kon Yeow (tengah) menunjukkan dua laras meriam lama yang ditemui.
Kon Yeow (tengah) menunjukkan dua laras meriam lama yang ditemui.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!