Dua lelaki dipercayai pengedar dadah tumpas

NOORZAINY
A
A

BUTTERWORTH- Hampir satu kilogram bahan disyaki heroin bernilai kira-kira RM17,000 dirampas dalam satu operasi bersepadu oleh Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Ketua Polis Daerah ini, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dua lelaki berumur 39 dan 24 tahun yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah di sini turut diberkas dalam operasi berkenaan yang dijalankan bermula pukul 6.00 petang semalam.
“Dalam serbuan pertama operasi ini di Kampung Perlis, polis menahan seorang lelaki, yang juga pengedar dadah berusia 39 tahun bersama 924.2 gram dadah jenis heroin bernilai RM16,300,” katanya.
Serbuan kedua di Ujung Batu pula membawa kepada penahanan suspek kedua yang memiliki 15.5 gram heroin bernilai RM542.
Katanya, kedua-dua suspek turut didapati positif mengambil dadah dan kini di bawah tahanan reman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya 1952.- Bernama.