Ah long silap bakar rumah!

Laporan Sinar Harian berkaitan kejadian dua unit rumah flat yang nyaris terbakar Sabtu lalu.
Laporan Sinar Harian berkaitan kejadian dua unit rumah flat yang nyaris terbakar Sabtu lalu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kejadian kebakaran bahagian hadapan dua rumah di Flat Stulang Laut di sini baru-baru ini didakwa mempunyai kaitan dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau ah long.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang, Andrew Chen Kah Eng berkata, kebakaran disifatkan sebagai ugutan itu terjadi bukan kerana penghuni berkenaan mempunyai masalah dengan ah long sebaliknya mereka hanyalah mangsa keadaan.

“Hasil pertemuan bersama penghuni ini, saya difahamkan kebakaran berlaku berkemungkinan dibuat hanya untuk mengugut pemilik rumah kerana mempunyai masalah dengan sindiket ah long.

“Saya juga dimaklumkan, penghuni rumah ini juga pernah menerima ugutan berupa notis dari ah long yang mahu meminta bayaran pinjaman di hadapan rumah mereka sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua unit rumah Flat Sri Stulang nyaris terbakar

“Mereka tidak sangka keadaan menjadi serius seperti ini, apa yang diceritakan mereka memang tidak tahu menahu mengenai pinjaman terbabit dan ini dipercayai adalah kes salah rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Andrew berkata, salah seorang mangsa yang rumahnya terbakar adalah wanita warga emas yang sedang menderita sakit buah pinggang.

“Saya yakin apa yang diceritakan penghuni ini adalah benar, ia juga dilihat dengan keadaan salah seorang mangsa yang sedang menderita sakit serta perlu menerima rawatan dialisis sejak 10 tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

“Mereka ini juga tidak mempunyai pilihan lain untuk pindah dan terpaksa hadap insiden seperti ini,” katanya.

Andrew (tengah) ketika melakukan lawatan di rumah yang terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan.
Andrew (tengah) ketika melakukan lawatan di rumah yang terbabit dalam kejadian kebakaran berkenaan.

Justeru, beliau berharap polis dapat melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit sekali gus memastikan keadaan tidak berulang lagi selepas ini.

Pada 31 Disember lalu, Sinar Harian melaporkan dua unit rumah Flat Stulang Laut di sini nyaris musnah dalam satu kejadian kebakaran kira-kira jam 7.15 pagi.

Bagaimanapun, kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.