Trek balapan Stadium Tuanku Syed Putra Perlis dibuka kepada awam

 MSN Perlis membuka stadium tersebut untuk kegunaan orang ramai dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang mereka menggunakan kemudahan yang terdapat di stadium tersebut. - Foto Bernama
MSN Perlis membuka stadium tersebut untuk kegunaan orang ramai dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi pada setiap Sabtu dan Ahad bagi memberi peluang mereka menggunakan kemudahan yang terdapat di stadium tersebut. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - Majlis Sukan Negeri Perlis buat julung kalinya akan membuka trek balapan di Stadium Tuanku Syed Putra Perlis kepada orang ramai bagi merealisasikan program ‘Sukan Untuk Semua’ di samping memberi peluang kepada mereka merasai sendiri pengalaman melakukan senaman di trek bertaraf kejohanan.

Pengarahnya, Mohd Rusfaizal Mohd Radzi berkata, orang ramai boleh menggunakan kemudahan itu setiap hujung minggu bermula esok (Sabtu) dari jam 7 pagi hingga 11 pagi secara percuma.

"Kita memilih waktu itu kerana ia masa yang sesuai bagi melakukan senaman pagi dan orang ramai boleh melakukan aktiviti sukan seperti berlari, joging atau berjalan sebagai senaman memanas badan atau senaman kardiovaskular seperti mana yang dilakukan oleh atlet sebelum memulakan latihan atau beraksi pada kejohanan sukan.

“Buat masa ini sebagai permulaan kita hanya buka fasiliti trek balapan kepada orang awam manakala kemudahan sukan lain akan dibuka secara berperingkat,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, trek balapan sepanjang 400 meter itu bakal memberi pengalaman baharu kepada orang ramai kerana suasana bersukan di trek berbeza dengan melakukan senaman joging di taman rekreasi kerana trek bertaraf dilengkapi dengan 'marking' (penanda) jarak pergerakan serta cengkaman pergerakan kaki pada trek direka khas untuk menyokong kelajuan atlet ketika beraksi.

Katanya pihak MSN berharap orang ramai mengikut peraturan ketika mengguna kemudahan sukan di stadium antaranya tidak membuang sampah di merata-rata tempat, tidak membawa makanan dan mengguna pakaian sukan sesuai terutamanya kasut sukan ketika mengguna trek. - Bernama

Artikel Berkaitan: