AI rampas kehidupan manusia

A
A
A

PENULIS buku AI Super-powers China, Silicon Valley and the New World Order, Kai-Fu Lee atau Jeremy Lee meramal dalam masa 10 atau 15 tahun lagi robot akan menguasai dunia secara total. Ramai khususnya pemandu lori dan trak, chef dan barista ternama akan hilang pekerjaan kerana tugas mereka diambil alih oleh robot yang telah diprogram secara Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan.

Penulis kelahiran Taiwan dan kini menetap di China itu meramal AI juga akan menjadi faktor penentu dalam banyak permasalahan manusia dalam masa terdekat. Beliau juga menulis tentang AI yang berjaya menukar China umpama seekor naga sedang tidur kepada gergasi ekonomi dunia. Sebenarnya, apa yang dibahaskan Jeremy Lee itu ada kebenarannya.

Dunia media percetakan telah lebih awal menempuh era perubahan. Peralihan media konvensional kepada digital telah menyaksikan gergasi Utusan Melayu, sebuah akhbar tertua di Malaysia tumbang dan berhenti beroperasi pada Oktober tahun lalu. Sebuah lagi gergasi media, Media Prima terpaksa mencantas bilangan pekerjanya pada awal Disember lalu. Kini, hampir keseluruhan pekerja media yang dibuang berdepan kesukaran untuk kembali mencari pekerjaan.

AI pula sedikit sebanyak telah mula menampakkan kesan kerosakannya kepada sistem kehidupan manusia. AI sememangnya resipi ampuh dalam menggerakkan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0). Lee dalam bukunya bercerita kanak-kanak tadika 5 tahun di China yang bertanya adakah suatu hari nanti robot akan menjadi guru mereka.

Ada juga persoalan lain yang ditanyakan kanak-kanak tadika tersebut seperti adakah orang akan berkahwin dengan robot dan mempunyai anak? Adakah komputer akan menjadi begitu bijak sehingga boleh menjadi ketua di pejabat? Jika robot mampu melakukan segala-galanya, apakah yang akan berlaku kepada manusia.

Persoalan tersebut sempat disambut seorang sahabat penulis yang terbang dari ‘Silicon Valley’ San Jose, California, Amerika Syarikat. Beliau tiba di Kuala Lumpur bagi membantu penulis membangunkan modul latihan dan cadangan projek pelaksanaan AI sempena pelan tindakan projek pembangunan Institut Inisiatif Kemahiran Teknikal Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Universiti Selangor (Unisel) dan rakan industri tertentu.

Beliau ialah antara pengasas SeeLoz Inc yang banyak menghabiskan masa membangunkan bidang pembangunan dan perniagaan teknologi `AI-Supply Chain’ di Silicon Valley bertahun lamanya. Antara kejayaan beliau ialah menyelamatkan salah sebuah pengeluar minuman terkenal dunia daripada terus mengalami kerugian sehingga USD$3 bilion (RM12 bilion) setahun.

Sama seperti Lee, beliau menyebut tentang AI yang telah berjaya membangunkan makmal penyelidikan akademik dan filem fiksyen sains. Orang biasa mungkin berfikiran sempit bahawa AI hanyalah robot yang boleh berfikir seperti orang, tetapi tiada hubungan dengan kehidupan manusia.

Artikel Berkaitan:

SH: Wadah utama

Dalam bukunya, Lee menyebut tentang inovasi AI merapikan halaman akhbar. Persidangan perniagaan meraih keuntungan daripada kebijaksanaan AI. Secara tiba-tiba, AI kini menjadi wadah utama dalam segenap kehidupan manusia. Lee yakin AI akhirnya menghasilkan aplikasi praktikal yang akan kehidupan manusia. AI sudahpun menguasai banyak aplikasi dan laman web kegemaran manusia. Kini, Lee membayangkan AI akan memandu kereta, menguruskan portfolio, menguruskan pembelian seharian sehingga menyebabkan manusia hilang pekerjaan.

Tidak sampai 10 tahun lalu, China ketinggalan jauh di belakang Amerika dalam bidang AI. Kini, China dilanda demam AI. Ramai jurutera pengkomputeran di China membangunkan puluhan ribu program berkaitan AI. Pendek kata, robot kini mampu menguruskan kehidupan manusia daripada seawal pagi sehinggalah manusia mahu masuk tidur.

John McCarty, penulis `The Farther of Artificial Intelligence’ menyatakan AI ialah gabungan sains, kejuruteraan dan teknologi maklumat lalu menghasilkan mesin pintar berserta program komputer pintar. Seorang lagi pakar AI, Max Tegmark iaitu Presiden Institut Masa Depan Kehidupan turut berkongsi pendapat yang sama. Malah beliau meramalkan AI berpotensi membantu tamadun berkembang.

AI dibuat dengan cara meniru gerak kerja sistem saraf otak manusia. Kecerdasan sistem komputer dikawal, diolah, diarah dan diputuskan oleh mikroprosesor terkandung dalam sistem komputer yang mampu meniru dan mengatasi sistem kebijaksanaan otak pemikiran serta inovasi manusia.

Perkara ini telah pun dinyatakan Allah dalam Surah Al-Baqarah [2:164] berbunyi “Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, silih bergantinya malam dan siang, bahtera berlayar di lautan membawa apa yang berguna bagi manusia, dan apa yang ALLAH turunkan dari langit berupa air, lalu dengan air itu Dia hidupkan bumi sesudah mati (kering) dan Dia sebarkan di bumi itu segala jenis haiwan dan pengisaran angin dan awan yang dikendalikan antara langit dan bumi; Sesungguhnya (terdapat) tanda-tanda (Keesaan dan Kebesaran ALLAH) bagi kaum yang memikirkan.”

Penulis mencadangkan jurutera di Malaysia segera melaksanakan `cross skilled’ dalam AI kerana ia mampu mengintegrasi dan menganalisa semua data dengan mudah. Bidang AI seharusnya menjadi topik hangat di kalangan jurutera tempatan.

*Profesor Madya Ir Dr Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (UNISEL)