'Badan basah tak apa, janji kuih tak basah'

Afendi
Afendi
A
A
A

KLANG - Video yang memaparkan seorang pelajar sekolah menjual kuih-muih di sekitar Jalan Pandamaran Jaya di sini menyentuh hati warganet yang melihatnya.

Video yang dimuat naik oleh FS Channel di Faceook milik mereka menunjukkan seorang remaja yang dikenali sebagai Afendi, 16, menjual nasi lemak dan kuih muih dengan hanya berbasikal di sekitar kawasan perumahan di sini.

Afendi berkata, dia baharu sahaja berniaga di sekitar kawasan Jalan Pandamaran Jaya 80, 81, 79, dan 74 sejak dua bulan lalu dan akan menjual di kawasan tersebut pada setiap hari bagi membantu meringankan beban ibunya.

Menurutnya, ibunya akan membuat kuih-muih dan nasi lemak bermula jam 9.30 pagi dan dia akan cuba untuk menghabiskan jualan setiap hari selepas waktu persekolahan.

"Kalau hujan ada payung untuk kuih saya. Bila saya berniaga ketika hujan, saya tak kisah basah atau tidak janji jangan kuih yang basah," katanya.

Katanya, dia menerima upah menjual kuih sebanyak RM3 sahaja daripada ibunya.

"Idea untuk berniaga ini cadangan daripada adik. Masa itu rasa macam duduk rumah tak buat apa-apa.

"Saya cakap dengan mak minta nak membantu dia berniaga. Kuih kadang-kadang tak habis namun kami sedekah dekat orang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Perkongsian video oleh FS Channel itu kini tular di media sosial yang meraih melebihi 1 juta tontonan
Perkongsian video oleh FS Channel itu kini tular di media sosial yang meraih melebihi 1 juta tontonan

Dalam pada itu, FS Channel mengambil pendekatan dengan membeli kesemua kuih dan nasi lemak Afendi dan turut menghulurkan sumbangan daripada orang ramai.

Perkongsian video itu tular di media sosial yang meraih melebihi 1 juta tontonan dan 9,600 berkongsi kita mengenai remaja tersebut.

Video tersebut membuatkan netizen sebak dan rata-rata warganet juga turut mendoakan agar Afendi sentiasa dimurahkan rezeki.

"Tulusnya dia mencari rezeki, tak berkira pasal upah. ALLAHU. Mulia dan ikhlas hatimu dik. Sebak bila dia berkata.."badan basah takpe..janji kuih jangan basah"..semoga ALLAH murahkan rezeki kau dik dan semoga dipermudahkan ALLAH urusan bro FS Channel," tulis Tania Alia di Facebook.

Rozita Radzali pula memberitahu "Walaupun upahnya kecil tapi tanggungjawab sebagai anak dia laksanakan dengan baik. Dia tak malu dan tak kekok untuk menjual. Ini antara golongan yang berusaha dan satu hari pasti berjaya kau dik,".