Polis bongkar taktik sindiket pinjaman tidak wujud

Mazlan (tengah) menunjukkan bahan bukti yang digunakan oleh penjenayah pada sidang media Tipu Pinjaman Tidak Wujud di Ibu Pejabat Kuala Lumpur. - FOTO: ZAHID IZZANI
Mazlan (tengah) menunjukkan bahan bukti yang digunakan oleh penjenayah pada sidang media Tipu Pinjaman Tidak Wujud di Ibu Pejabat Kuala Lumpur. - FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya membongkar satu sindiket penipuan pinjaman tidak wujud di laman sosial selepas seorang pembantu tadbir membuat laporan ditipu sebanyak RM800.

Mangsa berusia 36 tahun itu menghantar dokumen peribadi kepada sindiket berkenaan kerana membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, mangsa telah berurusan melalui Facebook dan perlu membuat bayaran yang diminta ke dalam satu akaun bank untuk proses mendapatkan pinjaman itu.

"Sindiket kemudian mengarahkan mangsa membayar RM2,000 setelah dimaklumkan cek pinjamannya telah sedia. Bagaimanapun mangsa telah menyedari dirinya ditipu lalu membuat laporan polis pada 21 Disember lalu," katanya.

Beliau berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Risikan/Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Wangsa Maju telah membuat serbuan pada 25 Disember lalu di Nilai, Negeri Sembilan.

"Seramai 10 orang termasuk tiga wanita ahli geng Jimmy diberkas ketika serbuan itu. Kita turut merampas 18 telefon bimbit 32 keping cek, tiga komputer riba, sebuah mesin cetak, enam keping sim kad dan tiga buku latihan yang mengandungi skrip dan nombor telefon mangsa," katanya.

Kesemua suspek berusia 19 hingga 33 tahun telah dituduh di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Jalan Sultan Abdul Halim kelmarin.

Artikel Berkaitan: