Ular sawa kekenyangan melingkar atas kandang kambing

Anggota APM menunjukkan ular sawa seberat 80 kilogram yang berjaya ditangkap kelmarin.
Anggota APM menunjukkan ular sawa seberat 80 kilogram yang berjaya ditangkap kelmarin.
A
A
A

MERSING - Seekor ular sawa seberat 80 kilogram (kg) berjaya ditangkap selepas ditemui melingkar di atas bumbung kandang kambing di Kampung Air Papan Tengah di sini malam kelmarin.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Mersing, Kapten (PA) Nurnajibah Abdullah berkata, operasi menangkap reptilia itu dilakukan sebaik menerima laporan penduduk kampung kira-kira jam 11.42 malam.

Menurutnya, tiga anggota APM yang diketuai Leftenan Madya (PA) Mohd Syaful Bahri Sarmin terbabit dalam operasi menangkap haiwan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, anggota APM mendapati terdapat seekor ular sawa dianggarkan sepanjang lima meter berada di atas bumbung kandang kambing berkenaan.

“Menerusi maklumat daripada pengadu, ular berkenaan juga dipercayai telah membaham seekor ayam peliharaannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nurnajibah berkata, proses menangkap ular sawa berkenaan kemudiannya mengambil masa 15 hingga 20 minit berikutan tindakannya yang membelit kuat salah satu tiang binaan terbabit.

“Ular yang berjaya ditangkap kini berada di Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Mersing dan akan diserahkan kepada Jabatan Perhilitan,” katanya.

Artikel Berkaitan: