Lantik kontraktor baharu siapkan Projek Perumahan Rakyat di Chendor

Saifuddin diberikan taklimat berhubung status Projek Perumahan Rakyat Chendor yang terbengkalai daripada wakil KPKT selepas turun padang meninjau tapak projek itu semalam.
Saifuddin diberikan taklimat berhubung status Projek Perumahan Rakyat Chendor yang terbengkalai daripada wakil KPKT selepas turun padang meninjau tapak projek itu semalam.
A
A
A

KUANTAN - Projek Perumahan Rakyat di Chendor di sini yang terbengkalai sejak Oktober tahun lalu akan diteruskan melalui pelantikan kontraktor baharu tahun ini.

Pengerusi Majlis Tindakan Negeri Pahang, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu melibatkan 100 unit rumah dengan kos asal RM14.68 juta.

Menurutnya, kontraktor berkenaan ditamatkan perkhidmatan pada 29 Oktober tahun lalu selepas projek perumahan itu terbengkalai dan setakat ini pembinaan hanya siap 41.3 peratus dengan jumlah perbelanjaan RM8.16 juta.

No Image Caption

"Projek ini sepatutnya siap 29 November tahun lalu. Saya difahamkan pihak KPKT akan mengeluarkan tender projek pada Februari ini dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun selepas kontraktor baharu dilantik," katanya pada sidang akhbar selepas meninjau tapak projek perumahan rakyat itu di Chendor semalam.

Saifuddin yang juga Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, apabila projek itu ditender semula, dijangka akan berlaku peningkatan kos lebih RM5 juta daripada baki peruntukan asal RM5.92 juta.

Beliau berkata, projek tersebut antara projek sakit di negeri ini yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri Pahang kali kedua yang dipengerusikan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, 27 Disember lalu.